Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, August 15, 2009

Ajaran Islam tidak izin agama, rasul dihina


Sikap pemimpin pembangkang menghina Islam dibantah oleh barisan Pemuda UMNO Kubang Kerian pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di SMK Long Gafar, Kubang Kerian, Kota Bharu, baru-baru ini. - Utusan/Hafiz Johari


KUALA LUMPUR 14 Ogos - Ajaran Islam tidak pernah sekalipun membenarkan agama dan rasulnya dihina dan dicaci melainkan akan segera dijawab dan ditangkis oleh Allah melalui firman-Nya dalam al-Quran.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islam (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad berkata, dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menceritakan mengenai penghinaan orang kafir terhadap kesucian agama dan rasulnya.

Antaranya, menurut beliau, tohmahan orang kafir bahawa Nabi Muhammad seorang ahli sihir dan penipu serta al-Quran sebagai ciptaan baginda sendiri dan bukannya diwahyukan oleh Allah.

''Allah tidak akan membiarkan rasul dan al-Quran dicaci dan dihina tanpa pembelaan, sebaliknya tohmahan itu akan terus dijawab melalui ayat-ayat suci yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW.

''Hakikat dan kebenaran ini adalah jelas, bukannya sekadar kenyataan bermotifkan politik. Kitab al-Quran adalah rujukan utama umat Islam dan sekiranya enggan merujuk kepada kitab suci itu, maka saya tidak tahulah kepada siapa lagi sepatutnya perlu dirujuk," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nakhaie yang juga bekas pemimpin tertinggi Pas pada era akhir 80-an diminta mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP didakwa menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam.

Nik Aziz sebaliknya menyalahkan sikap pemimpin Islam yang menolak ajaran Islam sehingga agama itu tercemar dan telah disalahertikan kesuciannya oleh mereka yang bukan Islam.

Tambah Nakhaie, ajaran Islam melalui al-Quran juga mengajar umatnya supaya selalu berdoa menolak bala dan celaan daripada musuh Islam dengan contoh terdekat ialah bacaan doa dalam setiap kali khutbah Jumaat.

''Saya tidak tahulah jika Nik Aziz tidak turut sama membaca doa itu (semasa bersembahyang Jumaat)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan Menteri Besar Kelantan itu bahawa pemimpin Islam sendiri yang menolak ajaran Islam, beliau yakin Nik Aziz telah terkeliru dalam perkara tersebut.

Bagi menjelaskannya, Nakhaie berkata: "Apabila kerajaan tidak terima pandangan Pas, maka beliau tuduh dan tafsir bahawa kerajaan tolak Islam, sedangkan di kalangan pemimpin parti itu sendiri banyak berlaku kepincangan yang tidak selari dengan ajaran Islam.

''Nasihat saya kepada semua pemimpin politik sama ada daripada Pas, UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), berpolitiklah secara penuh berhemah, Islam tidak pernah menghalang politik, tetapi ada batasan dan had yang perlu dipatuhi.''

Dalam pada itu, bekas Penasihat Agama Kepada Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Abdul Hamid Othman ketika ditanya mengenai kenyataan terbaru Nik Aziz itu, beliau menegaskan, ia tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang ulama yang disegani oleh ahli-ahli partinya.

''Kenyataan ini adalah amat tidak wajar dan tidak patut, sepatutnya beliau memahami implikasi daripada apa yang diucapkan itu.

''Mungkin jika ia dibincangkan dalam majlis ilmu di kalangan para akademik, boleh dipertimbangkan, tetapi apabila diucapkan secara umum melalui saluran media yang bersandarkan kepada kepentingan politik, maka ia adalah amat tidak wajar," katanya.

Abdul Hamid yang kini Penasihat Hal Ehwal Agama Islam Maju Group of Companies berkata, antara implikasi itu selain menyentuh sensitiviti umat Islam, ia memberi peluang kepada orang bukan Islam untuk terus menghina agama itu.

Selain itu, katanya lagi, ia juga memberi kesan kepada kestabilan negara dan keharmonian agama kerana hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa sultan.

Tegas beliau, pada masa ini, orang bukan Islam sudah pun memandang rendah pencapaian umat Islam di negara ini terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan, jadi apabila mereka turut menghina agama pula, apa lagi yang tinggal untuk dibanggakan.

''Saya amat bimbang lambat-laun orang Islam yang marah dan memendam rasa akan bangkit hingga mencetuskan pergolakan atau sesuatu yang tidak baik.

''Saya takut jika demi agama, orang akan 'bangun' kerana bagi mereka matinya adalah pasti syahid," katanya. - Utusan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...