Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, August 16, 2009

Isu P. Pinang diyakini bantu BN

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Pelbagai isu yang mendedahkan tembelang pakatan pembangkang baik di Pulau Pinang dan negeri-negeri yang diperintah oleh mereka akan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan berkata, menjadi pelengkap pada kelebihan itu ialah BN meletakkan calon muda, Rohaizat Othman, 38, yang dianggap menepati cita rasa pengundi di kawasan berkenaan.

"Rakyat boleh berubah pandangan dan dengan isu-isu yang memihak kepada BN kebelakangan ini, tiada yang mustahil dalam politik.

"Calon kita mempunyai pengalaman dalam parti dan profesion guaman, mempunyai latar belakang pendidikan agama dan beliau amat sesuai dengan cita rasa penduduk Permatang Pasir yang mempunyai 40 peratus pengundi muda," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan penutupan Konvoi Jelajah Kempen Semarak Merdeka 2009 anjuran Gagasan Ekonomi Malaysia (GEM) dan Sekretariat Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO di sini hari ini.

Pada pilihan raya kecil 25 Ogos ini, Rohaizat yang merupakan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh dicabar oleh Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd. Salleh Man, 52.

Antara isu yang mendedahkan wajah sebenar pemimpin pembangkang ialah kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi yang mengaitkan syariah Islam dan Jamaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstremis, kebajikan penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang dan pergeseran antara DAP dan Pas berhubung penjualan arak di Selangor.

Ditanya adakah Pas ketandusan pemimpin kerana menampilkan Mohd. Salleh yang telah kalah dalam enam pilihan raya sebelum ini, Ahmad berkata, ia adalah keputusan parti itu.

Bagaimanapun katanya, Rohaizat yang merupakan siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) diyakini lebih baik daripada Mohd. Salleh.

"Kita akan berjuang hingga ke saat-saat akhir, jadi terpulang kepada rakyat selepas tiga penggal Permatang Pasir diberikan kepada Pas.

"Misi kita kali ini ialah untuk menawan semula Permatang Pasir kerana pada 1995 ia adalah milik BN dan pada 2004 ia hampir berjaya dirampas," katanya. - Utusan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...