|
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, senario sekarang yang menyaksikan keganasan kerap berlaku di beberapa negara menjadi bukti bahawa ISA amat diperlukan untuk membendung perkara itu daripada terjadi di negara ini.
Beliau mengambil contoh Amerika Syarikat dan United Kingdom telah mewujudkan undang-undang antipengganas manakala di Australia pula pemimpin-pemimpinnya sedang berdebat untuk menentukan undang-undang bagi menghukum beberapa pengganas dari Somalia yang telah ditahan.
"Ketika kita mengarut di tepi jalan nak hapuskan ISA, negara maju pula sekarang sedang berbincang bagaimana mengukuhkan undang-undang yang mereka tidak ada tetapi kita memilikinya. Janganlah kerana marahkan nyamuk, kelambu dibakar," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kubang Kerian di sini hari ini.
Hishammuddin diminta mengulas kemungkinan negara berhadapan ancaman keganasan pihak yang ingin membalas dendam berikutan kegagalan menahan penjenayah paling dikehendaki di rantau Asia, Noordin Mat Top.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kemungkinan ancaman keganasan itu sentiasa ada di mana-mana sahaja namun negara ini masih selamat kerana rakyat menolak budaya militan dan keganasan.
"Saya yakin aktiviti militan tidak akan berkembang di negara ini kerana rakyat akan menolak sekiranya mendapati sesuatu perkara itu mempunyai kaitan dengan keganasan,'' katanya. - Utusan.
Comments
Post a Comment