Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, August 14, 2009

Kesal MB Selangor tidak tegas soal kawalan penjualan arak

SAYA terpanggil untuk menyentuh isu penjualan arak atau bir di Selangor yang hangat diperkatakan sekarang. Langkah yang diumumkan Menteri Besar Selangor yang memutuskan semua kedai perlu menggunakan kawalan kendiri dalam isu penjualan arak atau bir di kawasan majoriti penduduk Islam tidak akan dapat menyelesaikan isu berkenaan.

Saya melihat istilah kawalan kendiri ini sebagai penggunaan budi bicara yang boleh digunakan penjual dalam menentukan sama ada minuman keras itu boleh dijual ataupun tidak. Biasanya bagi seorang penjual atau peniaga yang diutamakan adalah motif keuntungan dan aspek moral atau agama boleh diketepikan. Oleh itu, dapatlah kita simpulkan bahawa kawalan kendiri ini tidak ubah seperti kita memberi sepenuh kebebasan kepada peniaga untuk menentukan sama ada untuk menjual arak tanpa hadnya ataupun tidak.

Kawalan kendiri amat berlawanan dengan penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas ke atas aktiviti menjual arak yang sepatutnya diperketatkan ke atas semua peniaga kedai runcit, kedai serbaneka, pasar raya dan di kawasan majoriti penduduk Islam.

Tanpa undang-undang ketat kita tidak boleh menghalang golongan remaja dan belia Islam serta kumpulan lain membeli arak atau bir sesuka hati dan situasi ini akan menggambarkan betapa merosotnya gejala sosial di kalangan masyarakat Islam di negeri ini. Ini baru menyentuh soal arak belum lagi soal judi, aspek hiburan dan lain-lain lagi.

Saya amat kesal dengan pendirian rapuh Tan Sri Khalid Ibrahim yang memandang isu arak ini sebagai isu biasa. Khalid sepatutnya menganggap isu minuman keras ini sebagai isu yang amat menyentuh sensitiviti dan hati nurani setiap jiwa umat Islam yang mahukan pembelaan yang sewajarnya. Gesaan daripada semua pihak termasuk NGO Islam dan juga Pas Selangor tidak boleh dipandang ringan kerana dengan mengetepikan pandangan mereka bermakna kerajaan pakatan rakyat di bawah pimpinan Tan Sri Khalid kini sedang menuju ke satu jurang yang amat dalam dan penuh berduri.

Kita tidak boleh menidakkan bahawa isu penjualan arak yang kini hangat dipolemikkan boleh menjadi titik tolak penolakan umat Islam Selangor terhadap kerajaan Pakatan Rakyat yang dengan jelas menampakkan perbezaan pendekatan antara Pas dan PKR/DAP dalam pelbagai isu membabitkan kepentingan umat Islam. Masyarakat menilai bahawa dengan satu isu arak ini saja kerajaan PR sudah bertegang urat dan bertelagah sesama sendiri apatah lagi dalam isu lebih besar seperti isu murtad, isu muallaf, isu dana baitulmal, harta wakaf dan lain-lain.

Kesimpulannya, isu penjualan arak ini akan menjadi barah yang akan merebak ke serata badan jika penawarnya tidak ditemui segera.

YANG TERCABAR,
Meru, Kelang. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...