Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, August 11, 2009

KESIHATAN 1MALAYSIA : Kempen besar-besaran atasi H1N1

Tindakan wajar : Adalah lebih baik kepada Umat Islam di Malaysia bersama mengadakan Solat Hajat memohon pertolongan ALLAH untuk mengelakkan bertambahnya wabak H1N1.

KUALA LUMPUR 10 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan menjalankan kempen pendidikan awam secara besar-besaran mengenai bahaya wabak selesema babi atau influenza A (H1NI) kepada seluruh penduduk negara ini.

Menurut beliau, langkah tersebut merupakan tindakan yang paling berkesan bagi mengawal penularan wabak itu dengan memberikan garis panduan yang sepatutnya dilaksanakan oleh penduduk negara ini apabila menghidap demam atau selesema.

“Apabila mana-mana individu demam atau selesema, maka langkah yang paling baik sekali adalah berehat di rumah sehingga pulih. Jika mereka keluar, kemungkinan untuk penyakit menular kepada orang lain adalah amat tinggi.

“Walaupun semasa berehat di rumah, mereka dinasihati supaya turut memakai penutup hidung dan mulut bagi mengelak wabak itu daripada merebak kepada ahli keluarga lain,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan bangunan baru Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.

Najib berkata, kerajaan juga akan menambah stok antiviral sebanyak 10 peratus daripada jumlah penduduk negara ini yang menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 20 peratus dengan melibatkan peruntukan tambahan kira-kira RM20 juta.

Katanya, stok antiviral ini akan diedarkan di hospital dan klinik kerajaan yang bertujuan memastikan lebih ramai penduduk negara ini mendapat suntikan, sekali gus mengelak daripada dijangkiti virus yang lebih berbahaya.

Ketika ditanya adakah kerajaan akan menguatkuasakan larangan perjalanan ke luar negara sebagai usaha menghalang penularan wabak itu, Najib berkata, arahan berkenaan tidak perlu.

Katanya, serangan wabak H1N1 bukannya penularan tempatan tetapi sebaliknya ia merupakan pandemik global.

“Tidak akan ada sekatan kerana pandemik ini berlaku di seluruh dunia, jadi tidak ada maknanya kita nak buat sekatan perjalanan,” katanya.

Dalam pada itu, Tiong Lai berkata, kementeriannya akan mendapatkan bantuan doktor persendirian sebagai salah satu usaha menyekat penularan penyakit itu.

“Rakyat jangan panik kerana kadar kematiannya adalah antara 0.1 dan 0.4. Kerajaan telah mengambil banyak langkah untuk mengawal wabak ini daripada menular di negara ini.

“Yang penting kita perlu mengawal keadaan ini bersama dengan menjaga kebersihan dan mengambil langkah-langkah tertentu seperti kuarantin diri, elak berkunjung ke tempat awam dan dapatkan rawatan segera jika mempunyai simptom-simptom wabak,” katanya. - Utusan.

BERITA LAIN :

- SMK Jengka 18 solat hajat
- IPT diarah kurangkan aktiviti luar
- Kementerian tentukan garis panduan tutup sekolah

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...