KUALA LUMPUR 10 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan orang Melayu mengenai individu-individu yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri semata-mata untuk kepentingan politik masing-masing.
Beliau berkata, individu-individu seperti itu sanggup mengorbankan bangsanya sendiri demi memastikan cita-cita politik mereka tercapai.
“Menjadi tanggungjawab saya untuk menentang habis-habisan pihak yang sebegini. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan negara kalau kita (BN dan UMNO) tidak berkuasa pada pilihan raya umum akan datang,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama) di sini hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan pembukaan Hotel Regency International di Jalan Raja Alang, yang merupakan cawangan kesembilan rangkaian hotel itu di negara ini.
Muhyiddin juga berkata apa yang membimbangkannya kini ialah terdapat orang Melayu yang menyokong orang bukan Melayu yang berani mempersoalkan hak dan dasar-dasar yang dibuat untuk orang Melayu.
“Saya tidak akan berhenti mengingatkan dalam tempoh setahun dua ini bahaya yang bakal kita hadapi. Bahaya sentiasa ada di hadapan kerana adanya Melayu yang gemar memutarbelitkan fakta yang pastinya disukai kaum bukan Melayu yang berkepentingan,” katanya.
Beliau mengajak orang Melayu supaya menentang pihak-pihak yang menjadi pengkhianat dan penderhaka ini yang hanya akan menyukarkan perjuangan UMNO untuk terus mempertahankan kedudukan orang Melayu. - Utusan Malaysia.
Comments
Post a Comment