KUALA LUMPUR 15 Ogos - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat perlu membuat pilihan sama ada mahu menjadi seorang ahli politik atau ulama sepenuh masa bagi mengelak timbulnya kekeliruan di kalangan masyarakat.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Idris Haron berkata, ini kerana kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan itu akhir-akhir ini lebih banyak bersifat politik dan bukannya berlandaskan pandangan seorang ulama.
``Saya melihat Nik Aziz sebagai orang politik dan bukannya ulama. Kenyataan hipokrit beliau mempunyai agenda dan kepentingan politik.
``Ini amat membahayakan kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan memandangkan yang membuat kenyataan itu seorang yang menggelarkan dirinya ulama,’’ katanya di sini hari ini.
Beliau menyatakan demikian ketika mengulas kenyataan Nik Aziz yang tidak membantah tindakan segelintir pemimpin DAP yang didakwa menghina Islam kerana berpendapat parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka tentang Islam mungkin tidak mendalam.
Pada masa yang sama, Idris yang juga Ahli Parlimen Tangga Batu kecewa dengan sikap sesetengah pemimpin pembangkang bukan Islam yang tidak peka dengan sensitiviti umat Islam sedangkan mereka lahir dan membesar di negara ini.
``Di manakah kepekaan sosial jika sekian lama hidup di negara ini mereka tidak memahami sensitiviti orang islam,'' katanya. - Utusan.
Comments
Post a Comment