Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, August 15, 2009

PAS Hilang Prinsip Dan Idealogi

By administrator | Category: Rencana

pas diperkuda, dipijak

Dan sesungguhnya Allah telah pun menurunkan kepada kamu di dalam Kitab (al-Quran), iaitu apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir), maka janganlah kamu duduk dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya kamu jika demikian, tentulah sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan orang munafik dan orang kafir di dalam Neraka Jahanam semuanya.
An Nisa (Ayat:140)

SEBELUM merdeka lagi, PAS pernah membuat kutukan terhadap UMNO kerana tindakan parti nombor satu masyarakat Melayu ini bergabung dengan MCA dan MIC yang diketahui umum sebagai parti masyarakat Cina dan India.

PAS mendakwa UMNO memperjudikan nasib orang-orang Melayu dan ‘menjual’ bangsanya sendiri melalui penggabungan tersebut dalam parti Perikatan. Menurut mereka, tindakan UMNO untuk bergabung dengan MIC dan MCA hanyalah bersifat propaganda politik semata-mata.

PAS mengutuk penggabungan terbabit dan menyeru rakyat Tanah Melayu khususnya yang beragama Islam agar tidak ‘bersubahat’ dengan UMNO. Pernah juga beberapa kali para pemimpin tertinggi PAS mengecam pemimpin-pemimpin UMNO dengan pelbagai kecaman yang kesat dan kasar dan ia berlanjutan hinggalah ke tahun 1990-an.

Di antara kecaman yang pernah dilontarkan oleh PAS termasuklah pertuduhan yang terlalu berat untuk diterima para pemimpin UMNO apabila mereka dikatakan sebagai kafir kerana penggabungan terbabit.

PAS menjatuhkan hukum haram untuk sesebuah parti Melayu-Islam itu bergabung dengan mana-mana parti yang berbeza agama dan kepercayaan. Justeru, PAS menuduh UMNO berdosa besar dan bakal ‘diajar’ tuhan kerana tindakan mereka menubuhkan parti BN.

Itu dahulu.

Hari ini, para pemimpin PAS bertukar iktikad pula. Nik Aziz pernah dipetik sebagai berkata bahawa adalah harus untuk parti Melayu-Islam seperti mereka bergabung dengan parti bukan Islam.

Kenyataan ini dibuat Nik Aziz sejurus selepas parti pimpinannya itu membuat keputusan untuk bergabung dengan PKR dan DAP di bawah nama Parti Pakatan Rakyat (walaupun tidak pernah didaftarkan – asalnya penggabungan hanya untuk pilihan raya sahaja).

Tindakan Nik Aziz ini jelas mencerminkan kepada kita betapa kepentingan bersifat kepartian dan keghairahan untuk membela kumpulan sendiri telah menenggelamkan perkiraan-perkiraan berhubung kemaslahatan sejagat, keperluan untuk mempertahankan keluhuran hukum Islam serta menjaga martabat umat khususnya dalam kalangan mereka yang bukan Islam.

Secara tidak langsung, penetapan hukum yang berubah-ubah dan pendirian para pemimpin atasan PAS yang rapuh turut memberikan persepsi yang negatif terhadap Islam. Pasti sahaja masyarakat Islam menganggap hukum Islam ini sebagai tidak rigid dan mudah diperkotak-katikkan.

Jika dahulu PAS pernah menuduh Islam menjadi sebagai agama acara di Malaysia di bawah pentadbiran UMNO, hari ini PAS menjadikan Islam tidak lebih daripada hanya sekadar alat berpolitik sahaja. Halal dan Haram bercampur baur dan hadis serta firman tuhan menjadi mainan mereka sepanjang berkempen dan menyampaikan ceramah.

Keputusan PAS untuk menjadi ‘regu’ DAP jelas menunjukkan kepada kita bahawa parti ini tidak bertindak seperti apa yang mereka katakan. Sikap ini jelas sekali bertentangan dengan tatacara Islam yang menuntut umatnya agar mengotakan setiap yang dikatakan.

Sekurang-kurang parti-parti komponan dalam BN yang mempunyai kepelbagaian bangsa dan agama mempunyai idealisme yang sama seperti UMNO, iaitu berlandaskan kepada ideologi demokrasi, bukan seperti DAP yang berpegang kepada fahaman sosialis, jelas berbeza dengan PAS.

Parti-parti kompona dalam BN juga menerima Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan menghormati budaya, adat serta kepercayaan masyarakat Islam selain bersetuju untuk menjadikan Islam sebagai agama rasmi negara sedangkan DAP ketara menolak Islam sebagai agama utama di Malaysia.

Pengerusi DAP, Karpal Singh secara terang-terangan dalam nada yang angkuh pernah menyatakan bahawa beliau tidak akan membenarkan Islam menjadi agama negara ini dengan mudah jika mereka memerintah.

Malah, Karpal Singh juga pernah menyatakan bahawa sesiapa jua yang mahu mendaulatkan Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlulah terlebih dahulu melangkah mayat beliau. Kenyataan ini turut ditujukan kepada rakan-rakan sepermainannya, PKR dan PAS.

Melihat kepada keadaan-keadaan ini, PAS sebenarnya tidak lebih daripada sekadar memperalatkan Islam demi percaturan politik mereka. Sikap cakap tak serupa bikin mereka bukanlah imej pemimpin contoh yang ditekankan dalam Islam.

Pertuduhan-pertuduhan yang dilemparkan PAS terhadap UMNO adalah keterlaluan. Seandainya PAS benar-benar menyerapkan nilai Islam dalam pemerintahannya, mereka tidak akan mengkafirkan seseorang Islam dengan semudah-mudahnya malah mereka juga tidak akan menghalal serta mengharamkan sesuatu perkara dengan sewenang-wenangnya, termasuklah membela Islam apabila ada pihak mempersendakannya. - UMNO online.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...