Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, August 18, 2009

Tokoh agama anggap ISA masih perlu


ANTARA yang hadir Wacana Ilmu oleh Nakhaie (kiri) dan Prof Dr Uthman El-Muhammady (kanan) dan dipengerusikan Eksekutif Perkhidmatan Sumber Manusia dan Kebajikan Pekerja dan Agama Zamanuddin Yusof, di Anjung Liku NSTP, semalam.

KUALA LUMPUR: Berita Harian mengadakan Wacana Ilmu dengan menampilkan dua tokoh agama terkemuka bagi membincangkan konsep Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kehidupan masyarakat di negara ini, termasuk aspek politik.

Program yang julung kalinya diadakan itu menampilkan Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr Muhammad Uthman El-Muhammady dan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad.

Muhammad Uthman berkata, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) masih diperlukan di negara ini walaupun ada pihak mahu akta itu dimansuhkan.

"Selagi belum ada akta lain yang boleh menggantikan ISA, maka akta ini perlu dikekalkan. Bagaimanapun ISA perlu dilakukan semakan semula. Akta ini penting bagi mengawal negara.

"Kita tidak tahu bila ancaman terhadap negara akan berlaku, misalnya jika kita mendapat maklumat di tengah malam ada ancaman terhadap negara, bagaimana kita hendak tangkap individu disyaki, apakah perlu tunggu mahkamah pada keesokan harinya," katanya di sini semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Mior Kamarul Shahid dan Ketua Pengarang Berita, Ahmad Zaini Kamarulzaman.

Muhammad Uthman berkata, persaudaraan masyarakat Islam berbangsa Melayu kini semakin rosak akibat pengaruh politik, sehingga ada pihak yang tidak lagi menghormati institusi Raja di negara ini.

"Persaudaraan Islam Melayu sudah rosak. Ada orang pakai jubah tetapi sanggup meniarap di tengah jalan halang kereta Raja dan ini bertentangan dengan ajaran Islam.

Sementara itu, Nakhaie berkata masyarakat Islam di negara ini perlu mengamalkan budaya politik selaras dengan tuntutan agama dan tidak mengutamakan politik sehingga menolak nilai Islam.

"Zaman nabi Baginda berdakwah dan dalam dakwah ada politik, sekarang politik sudah diletakkan pada tahap tinggi sehingga menolak perpaduan sesama Islam walaupun ada nas jelas dari al-Quran menyatakan agama Islam menuntut perpaduan," katanya. - Berita Harian.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...