Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, September 2, 2009

Cabaran hapus isu perkauman

SANGAT menyedihkan selepas 52 tahun kemerdekaan negara, kita masih lagi perlu diingatkan untuk meruntuhkan tembok perkauman. Dalam usia separuh abad terbinanya negara Malaysia hasil kesepakatan dan toleransi pemimpin pelbagai kaum terdahulu, semangat itu seharusnya sudah menjadi intipati dan sebati di dalam jiwa segenap lapisan masyarakat.

Malangnya, kita hari ini lebih mengenali diri dan jati diri berdasarkan siapa kita mengikut latar belakang kaum, ras, etnik atau asal-usul. Melayu, Cina dan India akan selamanya dipisahkan sebagai kaum yang berbeza dan bukannya satu bangsa Malaysia. Barangkali disebabkan jurang itu juga, banyak tuntutan dan polemik yang melangkaui sempadan agama dan kaum berlaku dalam masyarakat hari ini.

Jika inilah yang menjadi amalan, maka percayalah soal perpaduan akan terus menghambat negara waima selepas berabad negara mengecapi kemerdekaan sekalipun.

Bukan rahsia lagi cabaran kepada perpaduan itu bermula pada era penjajahan British yang memisahkan masyarakat Tanah Melayu menerusi dasar pecah dan perintah.

Dasar ini telah menyebabkan kita berpecah-belah mengikut pola kependudukan dan penempatan, jenis pekerjaan dan sistem pendidikan mengikut garis kaum. Namun itu bukanlah alasan untuk kita terus-menerus meletakkan kesalahan tersebut kepada penjajah. Ini kerana kesilapan itu boleh diperbaiki apatah lagi negara sudah lama mengecapi nikmat kemerdekaan.

Yang penting ialah sejauh mana dalam persekitaran hari ini, wujud sifat toleransi, hormat dan faham beralaskan kejujuran. Bagaimana elemen ini diterima berdasarkan kepada kekuatan Perlembagaan?

Adakah setiap individu bersedia untuk membelakangkan amalan budaya dan kepercayaan dan memberi keutamaan kepada nilai kemanusiaan?

Ini memandangkan nilai-nilai itu merupakan asas penting untuk meruntuhkan dinding yang memecah-belahkan masyarakat. Perkara ini turut ditekankan oleh Timbalan Dekan Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian.

Lebih jauh, beliau melemparkan pertanyaan sejauh mana setiap daripada kita meletakkan diri dalam sebuah keluarga besar yang ada nilai 'pengorbanan' serta 'kompromi' yang ditinggalkan oleh warisan lepas?

Namun, tambah beliau, timbul dilema siapa yang harus berkorban dan siapa pula harus berkompromi. Kemuafakatan dan keharmonian memberi penghormatan kepada nilai kemanusiaan yang tidak melihat siapakah yang memberi lebih, dan siapa pula yang kurang memberi dan lebih merasa.

''Jika wujud perasaan seperti itu, maka ia boleh berakhir dengan perasaan prasangka antara satu sama lain. Stereotaip akan menebal dan sifat etnosentrik akan mendominasi pemikiran seseorang individu," ujar beliau.

Sejajar dengan proses pemodenan dan pembangunan juga, masyarakat hari ini seolah-olah semakin luntur nilai 'kemasyarakatan'. Yang muncul adalah sifat materialistik dan individualistik yang menyaksikan semakin luntur dan pupusnya sifat kejujuran kerana persaingan ini.

Ada yang berebut kekayaan untuk diri sendiri dan lupa ada masyarakat sekeliling. Ada yang menyoal 'hak' dan 'tanggungjawab' serta 'Perlembagaan' yang hanya dirujuk mengikut keselesaan masing-masing.

Ini menyebabkan lahir ikatan longgar bukan sahaja dalam sesuatu kumpulan etnik tetapi juga hubungan antara etnik. Kerana itu juga tambah Sivamurugan, seiring dengan proses modenisasi, kita semua harus mempunyai rasa bertanggungjawab.

Keluarga harus menanam nilai ini di rumah supaya anak mereka menjadi 'idola' di mana sahaja kerana perpaduan sebenar bermula dari rumah. Ia mencerminkan kesungguhan kita bersama dalam apa sahaja keadaan.

''Kesemua etnik ada sifat etnosentrik untuk menanam semangat kekitaan tetapi lebih daripada itu, jika mereka memiliki perwatakan boleh hormat, faham dan bertolak ansur dengan kumpulan etnik lain, maka perpaduan akan subur dengan sendirinya," tambah beliau.

Dalam masa yang sama, pemimpin juga perlu tampil sebagai individu contoh yang boleh diteladani oleh setiap lapisan masyarakat. Dalam suasana politik yang tidak menentu ketika ini, pemimpin sewajarnya memiliki nilai 'kepimpinan' yang tinggi. Paling utama, ia perlu berasaskan kepada toleransi dan semangat kerjasama yang tinggi seperti yang ditunjukkan oleh pejuang kemerdekaan lampau.

Seperti yang dijelaskan oleh Sivamurugan, politik etnik telah mendominasi sejarah politik tanah air sejak sekian lamanya. Walaupun ramai menyatakan bahawa selepas 8 Mac 2008, pola pengundian menunjukkan bahawa kita sudah melangkaui garis keetnikan, namun sedar atau tidak, hakikatnya kita mempunyai kesedaran yang lebih tinggi ke atas persoalan keetnikan selepas 8 Mac 2008.

''Demokrasi negara akan matang dengan sendirinya jika watak yang terlibat juga matang," tegasnya.

Persoalannya, adakah watak utama dalam politik mengetahui bahawa kita masih terikat dengan sentimen emosi dan bukan rasional dalam hal-hal tertentu walaupun ada ketikanya kita mahukan kebebasan Barat dipraktis di negara ini.

Ada kekangan tertentu yang memberi limitasi ke atas kebebasan dalam sebuah negara yang terdiri dari masyarakat pelbagai etnik. Pemimpin harus berwaspada dalam memainkan sentimen perkauman kerana masyarakat hari ini lebih celik dari sudut ilmu, informasi dan pendekatan yang digunakan untuk mendapatkan maklumat.

Pemimpin ada pengikut dan pengikut yang memberi kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin dan parti akan taksub dengan pemimpinnya sehingga bersedia untuk melakukan apa sahaja untuk pemimpin tersebut.

Kerana itu juga tambah Sivamurugan, pemimpin perlu lebih bertanggungjawab dan memastikan bahawa walaupun berbeza ideologi politik, itu tidak bermakna kemuafakatan harus dikorbankan untuk mencapai matlamat akhir mereka iaitu mendapatkan kedudukan dan pangkat.

''Paling utama perpaduan tidak boleh dikompromi untuk apa sahaja walau untuk sesiapa sekalipun. Dalam menyoal hak dan tanggungjawab, kita mesti bertekad mempertahan apa yang sedang terbina sekian lamanya," ujar beliau.

Pandangan yang serupa turut dikongsi oleh pensyarah Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad.

Beliau turut melihat permainan politik di Malaysia tidak dapat lari daripada perjuangan berunsurkan kaum yang turut melebarkan jurang kemajmukan rakyat di negara ini.

Justeru bagaimana perpaduan dalam erti kata sebenar boleh dicapai dan masalah integrasi kaum dapat diselesaikan jika parti berbaur perkauman itu masih dikekalkan?

Kerana itu langkah terbaik ujar beliau ialah memansuhkan parti berasaskan perkauman dan mewujudkan satu parti tunggal dengan perjuangan 1Malaysia. Persoalannya mampukah ia dicapai secara aman?

Sesuatu yang pasti ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai kerana jika tidak, parti Barisan Nasional yang tidak pernah gagal memerintah negara sudah melakukannya sejak negara merdeka 52 tahun lalu. Ini kerana masyarakat Malaysia sudah terpisah dengan jurang perbezaan kaum yang sangat nyata.

''Apa yang boleh dilakukan adalah melalui perjuangan ideologi bagi mengaburi perjuangan yang berorientasikan kaum seperti bangsa Malaysia, Wawasan 2020, Satu Malaysia," ujar Noor Sulastry.

Namun, itu bukanlah halangan untuk kita merealisasikan ideologi perjuangan kaum menjadi kenyataan pada satu hari nanti.

Atas semangat perpaduan dan persaudaraan yang tinggi untuk membina satu wajah bangsa Malaysia sebenar, perbezaan itu boleh menjadi persamaan yang mengikat kita menjadi lebih bersaudara. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...