|
|
PUTRAJAYA 1 Sept. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein akan bertemu dengan penduduk Seksyen 23, Shah Alam di pejabatnya di sini esok bagi membincangkan isu pembinaan kuil di penempatan yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Menurut beliau, pihaknya bersedia berjumpa dengan penduduk yang terdiri daripada penyokong politik berlainan ideologi bagi membantu menyelesaikan kontroversi pembinaan kuil tersebut.
''Setakat ini sebanyak 52 laporan polis telah kita terima berhubung tindakan membawa kepala lembu semasa perhimpunan di hadapan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, Jumaat lalu.
''Dalam hal ini siasatan perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita selepas menerima memorandum cadangan pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Pribumi) di sini hari ini.
Hishammuddin memberi jaminan pihaknya tidak akan menyembunyikan apa-apa daripada rakyat dan tindakan akan diambil ke atas mereka yang telah membangkitkan sensitiviti kaum.
''Pada masa sama, kita perlu bersikap adil kepada mereka yang berkaitan iaitu penduduk," katanya.
Semalam, Timbalan Pengerusi Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23, Ibrahim Sabri dilaporkan berkata, pihaknya tidak tahu dari mana datangnya kepala lembu dalam perhimpunan berkenaan.
Beliau turut mempersoalkan kenyataan pihak tertentu yang terlalu melihat kepada sensitiviti penganut Hindu ekoran insiden kepala lembu tersebut.
Sedangkan, katanya, sensitiviti penduduk Islam kawasan itu sebelum ini langsung tidak pernah diambil peduli dengan cadangan pembinaan kuil itu. - Utusan
Comments
Post a Comment