KUALA LUMPUR 6 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak umat Islam di seluruh negara menyambut Nuzul Quran dengan satu tekad dan satu cita-cita iaitu untuk cemerlang sebagai satu ummah dan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.
Perdana Menteri berkata, umat Islam di negara ini perlu merujuk kepada al-Quran sebagai kompas dalam kehidupan untuk meningkatkan takwa dan sebagai panduan untuk mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.
"Kitab suci al-Quran merupakan sumber terhebat ilmu dan pembangunan bangsa untuk meningkatkan ummah sebagai Khaira' Ummah iaitu manusia paling cemerlang dalam sebuah kehidupan harmoni dan mampu menerajui negara di bawah gagasan 1Malaysia," katanya.
Najib berkata demikian dalam perutusan sempena Nuzul Quran yang disiarkan dalam laman web www.1malaysia.com.my hari ini.
Tambah Perdana Menteri, kepentingan budaya ilmu dan pendidikan melalui al-Quran menunjukkan Islam mengutamakan pembangunan dan menghargai pengetahuan.
"Ia telah mewujudkan semua tamadun yang hebat dan mencipta kesan tidak ternilai dalam pendidikan dan pembangunan dunia dalam semua aspek kemanusiaan.
"Sumbangan Islam dalam bidang intelektualisme menyerlah dengan hebat sekali melalui kemunculan cendekiawan Islam dan ramai pakar-pakar yang diiktiraf dunia," jelasnya.
Tambah Perdana Menteri, masyarakat Islam perlu terus berusaha dengan sebaik mungkin untuk membudayakan ajaran al-Quran, berilmu dan mengkajinya secara inovatif supaya dapat memahami keseluruhan kitab suci berkenaan dan mengamalkan ajarannya secara holistik.
"Para ulama, ahli akademik dan saintis perlu memulakan usaha ini demi kebaikan masyarakat Islam.
"Umat Islam kini berdepan pelbagai cabaran baru dan isu yang memberi kesan kepada Islam, syariah, perundangan, perubatan, ekonomi dan pelbagai lagi," katanya.
Jelas Najib, budaya berteraskan ilmu merupakan salah satu aspirasi gagasan 1Malaysia dan ia merupakan satu nilai yang penting dalam kehidupan manusia.
"Seperti mana ayat terawal diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW yang dirujuk sebagai sumber dan pendekatan dalam menuntut ilmu iaitu firman Allah dalam ayat pertama Surah Al-Alaq yang berbunyi: Bacalah," katanya.
Tambah Perdana Menteri, kitab suci al-Quran juga merupakan panduan kepada manusia untuk berbaik-baik sesama sendiri, mengutamakan semangat kebersamaan dan menjalin silaturahim.
"Turunnya al-Quran bukan hanya untuk mendidik manusia mengenai ibadah tertentu seperti solat dan puasa sahaja.
"Oleh itu dalam konteks masyarakat pelbagai etnik dan agama di Malaysia, saya percaya majoriti masyarakatnya mengutamakan perpaduan, keamanan dan keharmonian selain menerima keunikan setiap komuniti," katanya.
Jelas Perdana Menteri, sambutan Nuzul Quran akan memberi kesan positif ke atas kemakmuran rakyat dan mengukuhkan perpaduan sesama masyarakat. - Utusan
Comments
Post a Comment