KUANTAN 6 Sept. – Rakyat diminta mengekalkan keamanan negara dan keharmonian antara kaum kerana tanpanya mereka tidak mungkin boleh melakukan perkara-perkara asas dan penting termasuk mencari rezeki.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kedua-dua elemen itu merupakan perkara penting bagi membolehkan rakyat menjalankan kehidupan seharian.
“Hatta nak melakukan ibadat pun mungkin akan terganggu kalau kita tidak ada dalam sebuah negara yang aman dan makmur,” katanya ketika berucap di majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan kepada warga emas dan ibu tunggal di perkarangan Masjid Al-Amin Kampung Seri Damai di sini malam ini.
Turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Exco kerajaan negeri, Datuk Ishak Muhamad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Manis, Khairuddin Mahmud.
Menurut Perdana Menteri, selain mengekalkan keamanan dan keharmonian, cabaran penting kepada rakyat sekarang ialah bagaimana untuk mengurus kejayaan yang dikecapi oleh negara sekarang.
Kejayaan itu jelasnya, bukanlah sesuatu yang ‘pipih datang melayang dan yang bulat datang bergolek’, sebaliknya telah disusun rapi oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang merancang dan mengilhamkan idea serta dasar yang amat tepat dan sesuai untuk dilaksanakan sehingga negara bertambah berjaya.
“Tetapi keadaan sekarang bukanlah jaminan bahawa kita boleh meneruskan kejayaan tersebut. Kita perlu melihat bagaimana menguruskan kejayaan itu dengan mempertahankan dan memperkukuhkan perkara-perkara asas,” katanya. - Utusan
Comments
Post a Comment