Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Thursday, September 10, 2009

Kempen kutip 100,000 tandatangan desak Jeff Ooi letak jawatan

PULAU PINANG 9 Sept. - Forum Penyelarasan Umat (Forum) melancarkan kempen mengumpul 100,000 tandatangan rakyat hari ini bertujuan mendesak Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi untuk membuat permohonan maaf, meletakkan jawatan ataupun dipecat.

Wakil Forum, Md. Roslan Hashim berkata, tindakan tersebut dilakukan berikutan kenyataan Ooi yang telah mengaitkan syariah Islam dan Jemaah Islah Malaysia (JIM) sebagai ekstremis.

"Kami memulakan kempen ini setelah mendapat maklum balas daripada orang awam, pemimpin tempatan termasuk peniaga di negeri ini.

"Forum berhajat untuk mengumpulkan maklum balas atau proses bertulis dalam kempen tandatangan ini,'' katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 2 Ogos lalu, dalam kenyataannya kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, Ooi mengaitkan syariah Islam sebagai ekstremisme.

Beliau turut mendakwa Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Mohd. Razali Abdullah yang juga ahli Jemaah Islah Malaysia (JIM) mempunyai misi membentuk Malaysia sebagai negara yang menerima pakai undang-undang syariah sepenuhnya menjelang 2020.

Tindakan beliau itu menyebabkan pelbagai pihak termasuk Angkatan Pemuda Keadilan Pulau Pinang menghantar memorandum mendesak beliau meletak jawatan dan meminta maaf.

Pada 9 Ogos lalu, beliau yang juga Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Lim Guan Eng itu dalam sidang akhbarnya tetap dengan pendiriannya untuk tidak meminta maaf, sebaliknya hanya menarik balik kenyataannya.

Dalam hubungan ini, Md. Roslan menjelaskan, kebanyakan maklum balas yang diterima bersetuju dan berpendapat pemecatan Ooi sebagai ketua staf adalah wajar.

"Kempen kami juga telah disokong oleh lebih daripada 30 pertubuhan bukan kerajaan Islam di negeri ini,'' katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...