Skip to main content

Kerapuhan pakatan pembangkang

Siapa akan dominan?

SEBENARNYA mana-mana pihak tidak perlu mencemburui seandainya pakatan pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti atas satu simbol iaitu Pakatan Rakyat (PR).

Ia bererti pakatan itu akan didaftarkan secara rasmi sebagai sebuah parti komponen seperti Barisan Nasional (BN). Kita tidak kisah kerana itu hak mereka dalam sebuah negara demokrasi.

Tetapi persoalan siapakah yang akan dominan? PKR, DAP atau Pas? Berdasarkan kepada senario sejak pilihan raya tahun lalu, PKR dan DAP menguasai pakatan berkenaan manakala Pas hanyalah menjadi pak turut.

Oleh itu, jika pakatan tersebut ditubuhkan secara rasmi, Pas tidak akan menjadi seperti mana UMNO dalam BN yang terus menjadi tonggak utama, sebaliknya Pas hanya akan menjadi pengikut. Pas sudah pasti tidak akan diberikan kerusi yang melebihi PKR apatah lagi DAP. Sekarang ini pun kita sudah menyaksikan bagaimana Pas tidak berupaya melakukan apa-apa.

Justeru tidak mungkin, Pas akan menjadi tonggak kepada pakatan pembangkang. Sebaliknya Pas hanya akan terus dianggap sebagai pelengkap supaya di dalam pilihan raya tidak ada mana-mana parti-parti pembangkang yang bertanding berasingan menentang BN.

Persoalannya, kalau itulah kedudukan dan layanan yang bakal diterima oleh Pas, apakah yang akan berlaku kepada perjuangan Islamnya dan mampukah Pas memastikan kedudukan Islam serta orang Melayu tidak terjejas? Sama ada hendak diakui atau tidak, mana-mana pemimpin Pas tidak perlu hipokrit untuk menyatakan bahawa Pas akan memberikan kefahaman secara perlahan-lahan kepada rakan-rakannya dalam pakatan untuk memahami Islam.

Percayalah, kenyataan seumpama itu boleh dianggap kenyataan untuk ‘menyedapkan hati’ sahaja bagi mengelakkan penyokong parti tersebut tidak beralih sokongan mereka.

Sebenarnya Pas memahami kalau pakatan pembangkang didaftar secara rasmi dan bertanding atas satu panji-panji, ia bererti Pas harus melupakan sebarang hasrat untuk melaksanakan pemerintahan Islam di negara ini. Ia kerana apa juga keputusan yang bakal dibuat berhubung corak pemerintahan atau kepimpinan pakatan berkenaan harus berasaskan kepada suara ramai - ertinya Pas tiada kuasa mutlak untuk menentukan apa yang mereka mahukan.

Berdasarkan hakikat itu, Pas tidaklah perlu bersandiwara lagi. Mereka harus mengakui perjuangan mereka kini hanyalah semata-mata untuk berkongsi kuasa politik bersama-sama dengan PKR dan DAP. Pas tiada tujuan dan matlamat politik lain, kalau pun ada mereka tidak akan berupaya berbuat apa-apa kerana mereka bukan parti dominan dalam pakatan pembangkang. Pas hanya akan mengikut telunjuk DAP dan akan patuh kepada arahan PKR.

Bagi Pas, soal meneruskan apa yang mereka hendak perjuangkan sudah tidak menjadi persoalannya. Bagi terlalu dahaga untuk berada di puncak kekuasaan termasuklah menguasai negara. Mereka melihat berdasarkan kepada keputusan pilihan raya umum lalu, peluang mereka berkuasa bersama-sama PKR dan DAP semakin cerah. Oleh itu Pas cuba menjadi rakan pakatan yang baik.

Kejayaan demi kejayaan dalam pilihan raya kecil yang berlangsung semakin menyakinkan Pas bahawa pakatan pembangkang semakin diterima oleh rakyat. Tetapi Pas terlupa bahawa gelagat mereka yang dilihat sanggup mengorbankan segalanya untuk berkuasa sedang diperhatikan oleh rakyat terutamanya orang Melayu. Bagaimanapun kita tidak boleh menghalang hasrat Pas untuk bersama pakatan, apa yang kita harapkan ialah Pas tidak hanya menjadi pak turut. Kita mahu Pas dominan dan menjadi parti penentu kepada pakatan pembangkang. Melalui kedudukan itu, barulah kita yakin bahawa kita tidak perlu khuatir apa-apa lagi terhadap masa depan orang Melayu dan Islam, tetapi persoalannya mampukah Pas melaksanakan misi berkenaan? Sukar untuk dipastikan, ketika ini harapan orang Melayu tetapi bergantung kepada UMNO bagi memastikan survival dan kuasa politik mereka di tanah air sendiri tidak berakhir dalam pilihan raya umum akan datang.

Ragam jadi halangan

DAP memperjuangkan sebuah negara demokratik dan sekular. Pas memperjuangkan sebuah negara Islam. Parti Keadilan Rakyat (PKR) memperjuangkan sebuah negara demokratik. Tentu ia tidak dapat menyatakan sama ada untuk mendokong negara sekular atau negara Islam.

Menjelang pilihan raya umum tahun 2008, Barisan Alternatif (BA) terdiri daripada PKR dan Pas. DAP enggan menyertainya kerana menolak fahaman Pas. Ia hanya mahu bekerjasama dengan PKR.

Tetapi hakikatnya kerjasama berlaku antara DAP dan Pas. Penyokong mereka mengundi di antara satu sama lain. begitu juga aktivis mereka membantu di antara satu sama lain.

Melihat perkara ini dari awal pun sudah kelihatan kerapuhan parti-parti pembangkang. Masalah pasti timbul apabila mereka menang di negeri-negeri tertentu untuk menubuhkan kerajaan.

Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang adalah mudah. Ini kerana satu parti yang mendominasi. Kelantan dan Kedah dimenangi oleh Pas sementara Pulau Pinang oleh DAP.

Namun begitu, hakikatnya kemenangan Pas di Kedah adalah kerana sokongan pengundi DAP dan PKR. Tetapi Pas hanya ada kerjasama dengan PKR. maka tertubuhlah kerajaan campuran Pas dan PKR, atau BA. Dengan semangat ini juga Kelantan dianggap kerajaan campuran Pas dan PKR.

Begitu juga dengan Pulau Pinang. DAP tidak boleh menolak sumbangan penyokong Pas dan PKR. Tetapi ia tidak ada kerjasama dengan Pas. Maka kerajaan yang ditubuhkan ialah kerajaan campuran DAP-PKR.

Tetapi di Perak dan Selangor, ketiga-tiga parti itu kena berkerjasama untuk menubuhkan kerajaan negeri. Justeru, walaupun DAP dan Pas bertentangan dari segi fahaman, mereka terpaksa menerima satu asas bersama untuk berfungsi. Demokrasi dan urus tadbir baik menjadi asas, tetapi sekali gus menafikan perjuangan mereka iaitu sekularisme bagi DAP dan negara Islam bagi Pas.

Penyelarasan ini dibuat dengan pengisytiharan penubuhan Pakatan Rakyat yang terdiri daripada ketiga-tiga parti. Ini bermakna kelima-lima negeri itu bukan lagi diterajui kerajaan Pas atau DAP tetapi Pakatan Rakyat. Maka bermulalah masalah fahaman.

Tetapi hakikatnya fahaman hanyalah satu lapis bagi berlakunya kerapuhan ini. Lapis kedua yang lebih penting menjadikan pakatan ini rapuh ialah soal perkauman dan agama. Walaupun ketiga-tiga parti ini menolak perkauman dan perbezaan keagamaan, tetapi mereka tidak dapat melepaskan diri daripada soal kedua-dua ini. Ia bukan saja mereka sendiri mempunyai sentimen kaum dan agama, tetapi mereka mesti menuruti rentak pengundi yang rata-rata masih mempunyai semangat kaum dan agama, satu realiti dalam masyarakat Malaysia.

Itulah yang terjadi sejak Mac 2008.

Dalam mesyuarat-mesyuarat Exco Selangor, Perak semasa di bawah mereka, Pulau Pinang dan Kedah, banyak isu timbul yang berkaitan dengan hubungan kaum dan agama. Di satu pihak ialah DAP dan PKR bukan Melayu, berdepan dengan Pas dan PKR Melayu.

Tetapi di kalangan ahli-ahli politik ketiga-tiga parti itu juga beragam. Ada yang kelihatan ekstrem, sementara ada pula yang begitu toleran. Dalam DAP juga pelbagai perwatakan yang berbeza di antara satu sama lain walaupun sama parti. Begitu juga dengan Pas. Ada Erdogan, ada UG (unity government - kerajaan perpaduan).

Dalam PKR lagi pelbagai ragam. Paling rapuh ialah PKR yang sepatutnya menjadi tonggak Pakatan Rakyat. Gara-gara dua ahli politik PKR merintis kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Kejatuhan kerajaan negeri itu menjadi kenyataan dengan tindakan ahli politik DAP.

Dalam hal ini, ia bukan soal fahaman atau perkauman. Tetapi akhirnya pertimbangan ialah kepentingan diri dan kelemahan kepimpinan parti-parti itu, baik PKR dan DAP.

Kelemahan ini juga jelas berlaku di Pulau Pinang apabila pilihan raya kecil Penanti terpaksa diadakan.

Selepas kejatuhan kerajaan negeri Perak, kini gelora sedang berlaku di Selangor. Pelbagai isu timbul yang kebanyakannya berkaitan perkauman dan keagamaan.

Tiada tawaran lebih baik

APAKAH yang pakatan pembangkang boleh tawarkan sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara yang tidak boleh diberikan oleh kerajaan hari ini? Soalan ini sebenarnya sangat mudah kerana sebagai rakyat mereka memerlukan sesuatu yang terbaik dari semua aspek kehidupan. Untuk memberi mandat kepada pakatan pembangkang, sudah tentulah yang ditawarkan jauh lebih baik daripada yang dinikmati sekarang ini.

Nah, apa yang pembangkang boleh berikan kepada rakyat yang tidak boleh dilakukan oleh kerajaan? Manifesto pembangkang hanya memberikan solekan untuk menarik perhatian rakyat.

Kalau tidak ada tawaran yang lebih hebat daripada kerajaan, untuk apa kita menggadai masa depan seperti kata pepatah, yang dikendung keciciran yang dikejar tidak dapat. Ini kerana tidak ada perkara baru yang ditawarkan oleh pembangkang selain retorik tentang kebebasan bersuara, mewujudkan negara Islam sejati, memperjuangkan keadilan untuk semua dan membanteras rasuah.

Sekiranya ini yang ditawarkan, lebih baik kita memilih kerajaan yang ada sekarang kerana perkara-

perkara yang mahu diperjuangkan sudah dilaksanakan oleh kerajaan. Semua ini membuktikan pembangkang tidak menawarkan apa-apa sekiranya mereka diberi mandat mentadbir negara. Sebaliknya mereka mengecil atau menghakiskan yang telah ada atas alasan berkompromi dengan parti komponen dalam pembangkang.

Apakah sekarang tidak ada kebebasan bersuara maka ini menjadi alasan untuk pembangkang melakukan sekiranya diberi kuasa? Apakah bukan kebebasan bersuara dengan wujudnya beribu blog yang menghentam kerajaan dan pembangkang juga mempunyai buletin untuk memaparkan idealisme parti mereka? Berapa banyak pula pemimpin pembangkang yang ditangkap kerana mencerca pemimpin kerajaan?

Pembangkang yang memperjuangkan kebebasan media sebenarnya yang banyak mengambil tindakan undang- undang kepada media arus perdana. Di mana kebebasan yang diperjuangkan? Ini ternyata bahawa pembangkang tidak melaksanakan banyak perkara yang dijanjikan kepada rakyat bahawa mereka lebih baik daripada kerajaan sekarang.

Mengenai gagasan negara Islam, pembangkang mendepani masalah kerana dalam pakatan pembangkang sendiri ada parti yang membantah gagasan tersebut. Jadi, apakah Pas misalnya mampu memberikan definisi “negara Islam” yang lebih Islamik daripada yang dilakukan oleh kerajaan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat?

Kelantan dan Kedah secara total dikuasai oleh Pas tetapi Pulau Pinang oleh DAP. Ternyata Pas tidak mempunyai suara yang besar untuk menjadikan kerajaan negeri Pulau Pinang lebih Islamik daripada semasa dalam Barisan Nasional dulu. Insiden penjualan arak di kawasan majoriti orang Islam di Selangor juga memperlihatkan gagasan Islam cara Pas semasa pilihan raya tidak boleh dilaksanakan. Ini kerana Pas hanya menumpang PKR dan DAP di Selangor.

Maka, kita sendiri boleh melihat pakatan pembangkang tidak boleh menawarkan sesuatu yang lebih baik berbanding Barisan Nasional. Malah gagasan keadilan yang dibawa oleh pembangkang bukanlah suatu yang baru kerana kerajaan Barisan Nasional juga secara konsisten memperjuangkan keadilan kepada semua pihak. Kalau pakatan pembangkang mendakwa sebagai wira pejuang keadilan, tolong beritahu idealisme parti politik manakah yang tidak memperjuangkan keadilan? Bezanya Barisan Nasional sudah melaksanakan dan terus diberi penambahbaikan dalam perkara ini.

Pakatan pembangkang menjadikan isu rasuah sebagai modal politik. Maka agenda membanteras rasuah menjadi “keutamaan” kepada pakatan pembangkang sekiranya menjadi pentadbir negara ini. Kalau begitu apakah kerajaan sekarang tidak membanteras rasuah sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dinaiktaraf daripada Badan Pencegah Rasuah (BPR) sebelum ini?

Kesimpulannya pakatan pembangkang tidak ada tawaran yang lebih baik daripada kerajaan untuk menyakinkan mereka boleh menjadi kerajaan yang lebih baik. Semua yang ditawarkan kepada rakyat sudah diberikan oleh kerajaan. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Susahnya jadi Isteri Ketua Dewan Ulama Pas Perlis

Ustazah dakwa keinginan seks suami cukup tinggi KANGAR 24 Mac - Seorang ustazah mendakwa suaminya, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Abdul Rashid Rahman lebih mengutamakan kepuasan seks sendiri tanpa mempedulikan kesihatan dirinya yang ketika itu menderita kesakitan akibat bisul di punggung. Dakwaan tersebut dibuat oleh Siti Rosmala Mohamed, 38, ketika memberikan keterangannya selaku pemohon yang memfailkan permohonan cerai secara fasakh pada 15 Februari 2008 terhadap Abdul Rashid, 60. Siti Rosmala memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Zaidi Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Ibu kepada tiga anak itu turut mendakwa, walaupun mereka sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa lebih seminggu, namun suami sering kali memaksanya melakukan hubungan seks. "Walaupun seminggu tidak bercakap, selepas saya dimarahi atau dipukul namun dalam soal nafkah batin (hubungan seks), saya mesti berikan biarpun terpaksa," dakwa Siti Rosmala.

Anwar Ibrahim dan One-Zionis

  NED : 1. Anwar Ibrahim 2. Lorne Craner (Yahudi), Presiden IRI 3. Carl Gershman (Yahudi), Presiden NED 4. Kenneth Wollack (Yahudi), Presiden NDI 5. John D Sullivan, Pengarah Eksekutif CIPE Andainya kita terima kononnya KERAJAAN TERSILAP dan terambik supplier yang ada kaitan dengan Israeli dan terguna firma Public Relation Amerika yang ada pejabat di Tel Aviv. Kesilapan supplier PDRM adalah sikap Pak Lah yang leka dan cuai. Sekarang sudah tidak ada masaalah itu. Manakala perkhidmatan APCO tak ada kena mengena dengan geoglobal politics tetapi advisory dalam hal public relation termasuk online media. Dalam dua2 hal ini, kerajaan membayar service dan peralatan. Kita tentukan apa yang kita mahu dari perkhidmatan yang kita mahu. Firma yang kononnya Yahudi bukan penentunya dan mengarah kita. Untuk banding dengan hubungan Anwar dengan Yahudi Zionis, lihat gambarajah yang ada kaitan dengan power-power broker dunia berikut: Dari tiga gambarajah, Anwar bergantung harap kewangan, ke

KISAH BENAR ANWAR IBRAHIM ! BHG 1

1 DENDAM KESUMAT Anwar Ibrahim mempunyai perasaan dendam yang kuat atau dipanggil DENDAM KESUMAT sama ada kawan atau lawan.Dendam yang tak habis-habis terhadap Sanusi Junid, Rahim Tamby Chik, Abdullah Ahmad Badawi dan rami lagi menjadikan beliau tidak popular sebagai pemimpin. 2 PENENTANG Sikap menentang ketua menjadi amalan Anwar sejak aktif dalam UMNO pada tahun 1982. Pada tahun yang sama beliau menentang Suhaimi Kamaruddin untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO. 3 PECAH DAN PERINTAH Sikap pecah dan perintah merupakan strategi Anwar untuk berkuasa dalam UMNO dan kerajaan. Beliau sanggup mengadudumbakan UMNO Kedah bila beliau wujudkan komplot menentang ura-ura Dr. Mahathir untuk melantik Sanusi Junid sebagai Menteri Besar Kedah. Begitu juga beliau mengadakan tekanan terhadap Rahim Tamby Chik sehingga memaksanya meletakkan sebagai Ketua Menteri Melaka. 4 SUMPAH BOHONG Anwar berani bersumpah untuk tidak menentang Ghaffar Baba bagi jawatan T