Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, September 8, 2009

Pas letak syarat untuk berunding dengan Umno

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata parti itu tidak perlu mengadakan sebarang rundingan dengan Umno selagi ia mengamalkan dasar kebangsaan.

Malahan, beliau menganggap kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, semalam bahawa Umno bersedia berunding dengan Pas atas kepentingan Islam, sebagai isu lama.

Nik Abdul Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan juga meragui keikhlasan kerajaan pusat dalam membantu negeri Kelantan.

"Kalau nak jaga Islam lebih baik dia buat sebagaimana dia sebut tukar dasar daripada dasar kebangsaan kepada dasar Islam barulah benar-benar menampakkan kita ni ikhlas dengan Islam," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib semalam bahawa Umno sanggup berunding dengan Pas untuk kepentingan umat Islam negara ini, tetapi tidak rela jika Umno dihina oleh sesiapa sekali pun.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz, berterima kasih kepada Kerajaan Pusat kerana menyediakan peruntukan bagi pembangunan negeri ini, khasnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Beliau berharap peruntukan seperti itu dapat diberikan secara berterusan kerana ia menjadi tanggungjawab kerajaan pusat atas semangat persekutuan.

Semalam, Najib turut mengumumkan kerajaan pusat meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manek Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil DUN kawasan Manek Urai pada 14 Julai lalu. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...