IPOH 1 Sept. - Pergerakan Pemuda UMNO Perak mengingatkan pakatan pembangkang supaya jangan sekali-kali cuba menggugat kelancaran dan kelicinan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.
Ketuanya, Maslin Sham Razman berkata, pihak pembangkang sepatutnya bersama-sama kerajaan negeri menjayakan agenda untuk memastikan rakyat hidup dalam keadaan aman bukannya berusaha mewujudkan kekacauan.
''Perbuatan mereka ini dilihat sebagai tindakan pihak yang terdesak. Mereka tidak senang melihat pentadbiran kerajaan BN kini mampu berjalan dalam keadaan baik," katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, Pemuda UMNO Perak mengecam tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V. Sivakumar dan pakatan pembangkang yang bertindak memanggil 'sidang DUN' esok.
"Mereka sudah tidak ada hak lagi untuk berbuat demikian kerana mereka sudah hilang majoriti dalam DUN Perak," tegasnya.
Maslin Sham berkata, tindakan memanggil 'sidang DUN' menunjukkan pembangkang semakin kehabisan isu dan cuba mencari publisiti murahan.
"Mereka ini sudah membelakangkan demokrasi dan meletakkan hukum berlandaskan fikiran dan kepentingan mereka," katanya.
Katanya, Pemuda UMNO Perak akan terus mempertahankan kerajaan BN dan menyokong penuh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir. - Utusan
Comments
Post a Comment