Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan tegas perlu dikenakan terhadap pihak yang bertanggungjawab kerana jika perbuatan itu tidak dibendung ia boleh menimbulkan keresahan antara kaum dan agama di negara ini.
''Kalau salah dari segi undang-undang kita akan ambil tindakan dan polis tidak memilih bulu.
''Ini terbukti dalam kes Kampung Buah Pala semalam apabila polis juga menangkap Pemuda MIC yang membuat bantahan dan kes perhimpunan di Dewan Undangan Negeri Perak, pihak berkuasa juga menahan wakil rakyat pembangkang," katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan UMNO di sini hari ini.
Kemelut tersebut bermula apabila penduduk di Seksyen 23, Shah Alam membantah cadangan pembinaan kuil di kawasan mereka yang majoritinya beragama Islam berbanding hanya 40 penganut Hindu.
Ekoran tiada jaminan daripada kerajaan negeri untuk membatalkan cadangan itu, kira-kira 200 penduduk bertindak mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat pada 28 Ogos lalu bagi menyatakan bantahan.
Keadaan bagaimanapun bertukar kecoh serta menjadi kontroversi apabila ada kalangan mereka yang menyertai perhimpunan itu membawa kepala lembu ketika berarak ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.
Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata, tindakan tegas yang akan diambil pihak berkuasa adalah selaras dengan peranannya untuk menjaga keselamatan, keamanan dan kestabilan negara.
''Kalau ini menjadi pendirian yang konsisten, saya rasa orang ramai akhirnya akan melihat bahawa apa yang kerajaan lakukan ini tiada agenda lain. Ini saya harap dapat ditekankan semasa saya memimpin Kementerian Dalam Negeri. Salah tetap salah," katanya.
Mengulas mengenai pertemuannya selama sejam dengan wakil Persatuan Komuniti Seksyen 23 kelmarin, beliau berkata, langkah itu tidak boleh ditafsir bahawa beliau bersetuju dengan tindakan pihak tertentu yang membawa simbol yang agak sensitif.
''Tujuan saya ialah bagi mencari jalan penyelesaian termasuk menentukan lokasi baru dan nampaknya pertemuan saya ini telah memberi kesan baik apabila Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersetuju untuk mempercepatkan pertemuan dengan penduduk terbabit," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan masih menerima cadangan dan idea daripada pelbagai pihak berhubung pindaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebelum dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.
Katanya, semua pihak termasuk Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin boleh mengemukakan cadangan itu selaras dengan pendirian kerajaan untuk memberi ruang kepada semua pihak mengemukakan pandangan.
''Saya mahu semua pihak dapat merasakan bahawa mereka terlibat dalam proses membuat pindaan ini dan ia hanya akan berlaku jika tiada sesiapa bertindak mempolitikkan akta ini," ujarnya. - Utusan
Comments
Post a Comment