SHAH ALAM 4 Sept. - Siasatan terhadap tindakan penduduk Seksyen 23 berarak sambil membawa kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada minggu lalu dijangka selesai dua hari lagi.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar memberitahu, pihaknya sedang mengumpulkan rakaman percakapan beberapa lagi individu yang terlibat dalam insiden itu untuk tindakan sewajarnya.
"Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan polis untuk membuat sedikit siasatan lanjut. Kita akan panggil beberapa individu untuk disambung rakaman percakapan mereka. Kita percaya dalam dua atau tiga hari lagi, kes ini boleh diselesaikan," katanya.
Beliau ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan duit raya kepada 15 anak yatim dan kanak-kanak istimewa kakitangan Polis Daerah Shah Alam di pekarangan surau Kompleks Perumahan Polis Seksyen 20, di sini malam tadi.
Minggu lalu, penduduk Seksyen 23 turut mengadakan perhimpunan tersebut sebagai membantah keputusan kerajaan negeri mahu membina kuil berhampiran kawasan kediaman mereka.
Berikutan itu, beberapa pihak termasuk pemimpin tertinggi kerajaan menyelar tindakan tersebut yang dikatakan tidak mengambil kira sensitiviti kaum lain sehingga dikhuatiri boleh mencetuskan pertelingkahan kaum.
Kuil itu mahu dipindahkan dari Seksyen 19 ke kawasan tersebut dan penduduk membantah kerana majoriti penghuninya beragama Islam. - Utusan
Comments
Post a Comment