|
|
Sambil merujuk kejadian di Shah Alam baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tindakan mencerca agama lain bukan sahaja boleh mencetuskan ketegangan dan pergaduhan tetapi juga akan menyebabkan agama Islam dicerca mungkin lebih hebat lagi.
Katanya, keadaan tersebut juga boleh menjejaskan pembangunan dan keamanan negara yang hasilnya kini dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum.
Beliau turut memetik maksud Surah al-An'am ayat 108 yang berbunyi: Janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah kerana mereka kelak akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka. Kemudian pada Tuhan merekalah tempat kembali mereka.
''Jadi, maknanya Tuhan lebih mengetahui daripada kita. Kalau kita mencerca agama orang lain, orang lain akan bertindak balas mungkin lebih hebat lagi. Jadi, maknanya, salah kalau kita mencerca agama orang lain," katanya ketika berucap selepas menunaikan solat maghrib di Masjid Jamek Chenor dekat sini malam ini.
Terdahulu, Perdana Menteri menghadiri Majlis Berbuka Puasa Muhibah anjuran kerajaan negeri di pekarangan masjid berkenaan sempena meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-52.
Ketika berucap, Najib turut menyentuh tentang pentingnya umat Islam menghayati ibadat puasa yang dapat memupuk nilai-nilai murni sekali gus menjadikan mereka umat contoh.
Jelas beliau, ibadat puasa Ramadan merupakan tarbiah terbaik kepada umat Islam dalam menyucikan jiwa dan pemikiran mereka daripada sifat-sifat buruk seperti hasad dengki, mengadu domba, membenci, pelampau, kaki gaduh, mengumpat dan sebagainya.
Beliau pada masa sama mengingatkan umat Islam bahawa agama suci itu tidak melarang mereka daripada meraih kekayaan dan kekayaan itu pula tidak digunakan untuk menunjuk-nunjuk sebaliknya bagi membantu golongan miskin. - Utusan
Comments
Post a Comment