Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Thursday, October 1, 2009

Dr. Mahathir terima pemilihan Isa Samad

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Tun Dr. Mahathir Mohamad menerima pemilihan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai calon Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang kerana itu adalah pilihan parti.

Menurut bekas Perdana Menteri, pandangan atau perasaan peribadinya tidak boleh lagi diambil kira kerana parti telah membuat keputusan secara sepakat.

"Ia bagus, kita akan menang," katanya selepas program A Meeting of Minds antara beliau dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Forbes, Steve Forbes di sini hari ini.

Ditanya apakah Barisan Nasional (BN) boleh menambah majoritinya jika menang di Bagan Pinang, Dr. Mahathir berkata, beliau tidak boleh meramalkan perkara itu.

"Saya tidak tahu itu, mungkin ia akan meningkat," katanya.

Jelas beliau, terletak di tangan pengundi untuk membuat penilaian apakah Mohd. Isa adalah satu pemilihan yang tepat.

Dr. Mahathir juga memberitahu bahawa beliau tidak merancang untuk berkempen bagi pihak BN di Bagan Pinang.

Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang diadakan berikutan kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu di Hospital Pakar Seremban (SSH) kerana jangkitan dalam darah.

Azman yang mewakili BN memperoleh 6,430 undi menewaskan calon Pas, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu dengan kelebihan 2,333 undi.

DUN Bagan Pinang mempunyai 13,664 pengundi iaitu 62.77 peratus pengundi Melayu, 20.74 peratus kaum India, 10.96 peratus Cina dan 5.54 peratus kaum lain. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...