Calon BN, Tan Sri Mohd. Isa Samad berkata, konsep BN adalah jelas iaitu mendampingi rakyat tanpa mengira kaum setap masa bahkan segala kemudahan yang diberikan adalah hasil dari usaha parti itu yang begitu peka kepada masyarakat setempat.
Kata beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, adalah menjadi tanggungjawab BN dalam memperjelaskan semua isu yang dicampakkan oleh pembangkang bagi mengelakkan kekeliruan di kalangan pengundi.
"Memang kita sentiasa mendekati rakyat pada setiap masa dan memahami apa yang diperlukan oleh mereka. Pada masa yang sama adalah penting jika isu yang diputar belit pembangkang diperjelaskan.
"Ini penting bagi pengundi oleh kerana apabila ia isu ini dibangkitkan orang jadi keliru dan ini akan menimbul rasa tidak yakin rakyat kepada kerajaan," katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Taman Datuk Abdul Samad di sini hari ini.
Mohd. Isa juga memberitahu, BN tidak akan terikut-ikut dengan cara pembangkang yang seringkali memaki hamun kerajaan walhal telah banyak dasar kerajaan menguntungkan mereka.
Sementara itu, beliau berasa gembira melihat respons dari pengundi sebaik sahaja diumumkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah menggalakkan.
"Ini tempat saya.. Tengoklah ramai orang datang," katanya secara berseloroh. - Utusan
Comments
Post a Comment