Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Thursday, February 4, 2010

Guan Eng layan PKR macam anjing? - Tee Beng

KUALA LUMPUR 3 Feb. - Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng yang diminta berhenti mengkritik Lim Guan Eng, hari ini mendakwa Ketua Menteri Pulau Pinang itu melayan wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti anjing.

Menurutnya, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP hanya berkelakuan sopan dan menunjukkan sikap bertanggungjawab apabila berhadapan dengan media.

"Sebenarnya beliau tidak endahkan wakil rakyat PKR langsung dan terlalu berlagak dengan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Tee Beng, ramai wakil rakyat PKR dan Ketua Bahagian PKR di Pulau Pinang yang semakin kecewa dengan pentadbiran Guan Eng.

"Sehubungan itu, saya meminta rakyat Pulau Pinang bersikap lebih terbuka dengan memilih calon yang benar-benar sesuai pada pilihan raya akan datang bagi menggantikan Ketua Menteri itu.

"Sudah tiba masanya untuk Guan Eng melepaskan jawatan Ketua Menteri kerana kepimpinannya tidak lagi diperlukan rakyat Pulau Pinang," katanya.

Ahli Parlimen Nibong Tebal itu diminta Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Hussein Ali supaya berhenti mengkritik Guan Eng kerana ia hanya menjejaskan imej parti.

Bagaimanapun semalam Utusan Malaysia melaporkan, Tee Beng tidak akan berhenti daripada terus mendedahkan kepincangan kepimpinan Guan Eng sekalipun berdepan risiko dipecat.

Tee Beng yang merupakan bekas Ketua Penerangan PKR Pulau Pinang berkata, beliau bersedia membongkar semua rahsia dan cara pentadbiran Guan Eng pada bila-bila masa sahaja.

Tambah beliau, hampir semua wakil rakyat di negeri itu sudah muak dan bosan dengan janji-janji Guan Eng yang kononnya akan memperjuangkan nasib rakyat.

"Bayangkan setiap kali mesyuarat dalam negeri atau perjumpaan biro diadakan, Guan Eng tidak pernah mengambil tindakan susulan daripada perkara berbangkit sebaliknya hanya cakap kosong.

"Sehubungan itu, saya sebagai wakil akar umbi bertindak menegur beberapa perkara berbangkit kepada Guan Eng namun beliau menuduh saya telah mengkritik kepimpinannya," katanya.

Tee Beng turut mencabar Guan Eng menafikan dakwaannya itu jika ia salah.

"Saya tahu beliau tidak akan berani berbuat demikian kerana selama ini jika ada isu-isu berbangkit, beliau akan meminta pihak-pihak tertentu menjawab bagi pihaknya," jelas beliau.

Ditanya sama ada beliau berhasrat menyertai parti lain, jelasnya, setakat ini Jawatankuasa Disiplin parti belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.

"Pada masa ini tiada orang yang mempelawa saya menyertai mana-mana parti, biasanya kalau mereka nak pecat, saya akan dikenakan tindakan tatatertib dahulu," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...