Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Tuesday, February 2, 2010

Pemimpin parti politik Melayu perlu bersatu

KUALA LUMPUR 1 Feb. - Semua pemimpin parti politik Melayu tidak kira sama ada kerajaan mahupun pembangkang perlu bersatu bagi memperjuangkan nasib bangsa.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Bakar menegaskan, pemimpin-pemimpin parti tersebut perlu sedar dan insaf kerana hancurnya bangsa Melayu disebabkan oleh barisan kepimpinannya yang tidak bersatu.

Menurut beliau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersedia untuk menggerakkan perpaduan Melayu kerana Islam mesti dijunjung dan raja mesti di takhta.

"Kita berharap parti-parti Melayu bersatu dalam memperjuangkan hak-hak yang berkaitan dengan keistimewaan orang Melayu seperti agama Islam, raja-raja Melayu dan konsep ketuanan Melayu.

"Kita tidak mahu ibarat itik mati kehausan di air, ayam mati di kepuk padi, kera di hutan disusui, anak di pangkuan dibiarkan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Beliau diminta mengulas kekecewaan Tun Dr. Mahathir Mohamad terhadap tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini, apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Dr. Mahathir percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, UMNO perlu sentiasa meyakini rakyat supaya dasar-dasar yang dipraktikkan memperlihatkan pembelaan orang Melayu dan bukannya sekadar cakap sahaja.

"Apabila sokongan daripada bangsa Melayu bertambah kuat, maka bangsa-bangsa lain turut sama menyokong.

"Kita tidak mahu apa yang dikejar tidak dapat, tetapi yang dikendong pula berciciran," katanya.

Timbalan Pengerusi Alumni Kelab-kelab UMNO Luar Negara, Datuk Mohammad Rais Zainuddin pula berpendapat, hanya Pas dan PKR yang lebih mengutamakan sokongan bukan Melayu kerana mereka tidak mempunyai dasar kukuh selain hanya mahu berkuasa.

Menurutnya, UMNO yang telah memerintah negara ini di bawah komponen Barisan Nasional (BN) lebih 50 tahun dahulu, sentiasa mendahulukan rakyat termasuk kaum bukan Melayu.

"UMNO hanya melaksanakan tugas sebagai pemerintah kerajaan dalam memenuhi keperluan kaum bukan Melayu," jelasnya. - Utusan

1 comment:

  1. ego.. pembangkang terlalu ego dalam hal bersatu padu.. hadi sendiri cadangkan kerajaan perpaduan, hadi sendiri juga yang menuduh umno yang menjadi punca perpecahan pas suatu ketika dulu. bila sudah mendapat kuasa, angkuh mereka menggalahkan syaitan.

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...