Skip to main content

Politik dominan DAP

SEJAK dari awal lagi, apabila Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas bersedia bekerjasama dengan DAP sebelum pilihan raya umum 2008, ramai sudah tertanya-tanya sejauh manakah pakatan itu akan mampu bertahan.

Persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak ialah sejauh manakah DAP akan membenarkan PKR dan Pas sentiasa senada dengan mereka dan sejauh mana pula DAP akan menuruti kesepakatan yang dicapai antara ketiga-tiga parti tersebut.

Lebih daripada itu, ada juga yang bertanya, sejauh manakah DAP akan mendengar dulu pandangan PKR dan Pas jika ada tindakan-tindakan yang berkaitan dengan umat Islam dan orang Melayu.

Tetapi kini lebih 21 bulan mereka menjalin kerjasama maka semakin terserlah 'taring' DAP yang ternyata mempunyai sifat 'ultra kiasu' dalam memastikan PKR dan Pas menuruti apa kata mereka.

Berdasarkan hakikat itu juga, mana-mana pihak yang mengikuti perkembangan dalam parti pembangkang tidak akan terkejut dengan kelantangan Ahli Parlimen Bayan Baru dari PKR, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim mengkritik sikap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang disifatkan oleh beliau sebagai seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.

Pergolakan terbaru yang berlaku di Pulau Pinang hanyalah rentetan daripada pelbagai kemelut yang berlaku dalam kerjasama antara parti pembangkang.

Sebelum ini, DAP sememangnya dilihat 'menguasai' pakatan pembangkang sama ada di Pulau Pinang, Perak mahupun Selangor. Di ketiga-tiga negeri itu, PKR dan Pas seolah-olah tidak berupaya melakukan apa-apa kerana segala-galanya harus mendapat restu DAP.

Di Perak, ketika pembangkang menguasai kerajaan negeri selama 11 bulan, semua orang tahu siapa sebenarnya lebih berkuasa biarpun jawatan Menteri Besar disandang oleh Pas.

Di negeri itu, Pas dan PKR tidak boleh berbuat apa-apa memandangkan majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kalangan pembangkang dikuasai oleh DAP.

Oleh itu, mahu tidak mahu, apa juga yang hendak dilakukan oleh kerajaan negeri yang diketuai oleh Pas maka ia harus mendapat kelulusan DAP.

Begitulah juga di Selangor, walaupun kerusi Menteri Besar dikuasai oleh PKR manakala Pas menjadi sebahagian daripada pentadbiran kerajaan negeri namun PKR dan Pas seolah-olah tidak mampu bersuara.

Nasib paling malang apabila Pas terpaksa akur dengan apa juga keputusan, biarpun ada antaranya bertentangan dengan prinsip perjuangan parti itu.

Walaupun kita yakin PKR amat menyedari politik dominan yang cuba ditunjukkan oleh DAP, namun kepimpinan parti itu tidak akan berani melakukan sebarang tindakan, apatah lagi mempertimbangkan seruan Zahrain agar PKR mengkaji semula kerjasama dengan DAP.

Ia kerana dalam keadaan kerjasama PKR dengan Pas masih terumbang-ambing dan bergelut dengan pelbagai masalah maka sudah tentulah PKR tidak akan mahu 'merapuhkan' pula hubungannya dengan DAP.

Tambahan pula, PKR tidak akan mempunyai apa-apa kekuatan jika tidak disokong oleh DAP dan Pas. Oleh itu, adalah sesuatu yang mustahil jika PKR akan mengkaji hubungannya dengan DAP.

Tetapi bagaimana pula dengan Pas? Apakah parti itu akan mendiamkan diri sahaja dan menganggap isu yang tercetus hanya melibatkan PKR dan DAP?

Sepatutnya Pas melihat segala pendedahan yang dilakukan oleh Zahrain sebagai pengajaran bahawa selama-lamanya DAP tidak akan jujur dalam menjalin kerjasama dengan mana-mana parti pembangkang.

DAP ingin menjadi parti yang dominan dan hanya mahu memperalatkan PKR dan Pas mendapat kuasa.

''Jika PKR yang dianggap kawan baik DAP pun dipermainkan oleh DAP, apatah lagi Pas. Oleh itu adalah wajar bukan sahaja PKR malah paling utama Pas sendiri perlu mengkaji apakah wajar mereka terus berada dalam pakatan pembangkang.

''Ia kerana adalah jelas DAP mengamalkan sikap politik dominan dan hanya ingin mempergunakan PKR dan Pas untuk meraih sokongan terutamanya di kalangan orang Melayu,'' kata seorang pemimpin Pas ketika dihubungi.

Sebenarnya, sejak dari awal lagi di dalam Pas sendiri sudah wujud ketidakselesaan apabila parti itu bekerjasama dengan DAP. Ia kerana di kalangan ahli Pas mereka tidak yakin sejauh manakah DAP benar-benar jujur dalam menjalinkan persahabatan dengan parti itu.

Ini memandangkan hubungan Pas dan DAP bukanlah sebaik mana, DAP sentiasa sahaja menentang perjuangan Islam yang dibawa oleh Pas.

Tetapi oleh kerana terlalu taksub ingin berkuasa termasuklah di beberapa negeri selepas pilihan raya umum lalu maka Pas bersedia menjalin kerjasama dengan DAP.

Bagaimanapun perkembangan terbaru yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor sepatutnya menyedarkan kepimpinan Pas bahawa mereka tidak akan mempunyai apa-apa suara jika DAP benar-benar dominan dalam pakatan pembangkang nanti.

Selama ini pun dalam apa juga tindakan termasuklah dalam membentuk corak pemerintahan di Pulau Pinang dan membantu di Selangor, DAP tidak pernah peduli apa perasaan PKR dan Pas.

Semua itu berlaku kerana DAP yakin bahawa PKR dan Pas tidak akan berbuat apa-apa, apatah lagi keluar daripada pakatan.

Mengulas kemelut terbaru ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, apa yang terjadi bukanlah sesuatu mengejutkan.

''Ini kerana sejak dulu, DAP tidak pernah berubah dasar dan perjuangan dalam mengetengahkan konsep Malaysian-Malaysia, satu ideologi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan anti ketuanan Melayu.

''Perkara ini bukannya tidak disedari oleh PKR dan Pas, tetapi mereka sengaja buat-buat tak tahu kerana hendak meraih kerusi dalam pilihan raya,'' katanya ketika dihubungi.

Mohamed Mustafa berkata, dalam soal hubungan dengan DAP, Pas harus sedar bahawa mereka juga akan mengalami nasib seperti mana PKR, cuma hanya menanti masa sahaja.

''Kepimpinan Pas perlu sedar perkara ini, jangan kerana mahukan kuasa maka prinsip perjuangan sendiri terpaksa dikorbankan. Saya yakin ahli-ahli parti itu di peringkat bawah gelisah dengan apa yang berlaku dan mahukan kepimpinan Pas mengkaji semula hubungan dengan DAP,'' katanya.

Apa pun tafsirannya adalah jelas hari demi hari DAP semakin menunjukkan belangnya. Mereka sentiasa melakukan tindakan yang dilihat memperkotak-katikkan PKR dan Pas, tetapi kedua-dua parti itu tidak boleh berbuat apa-apa.

Bayangkanlah apa yang akan berlaku, seandainya dalam pilihan raya umum nanti DAP akan lebih dominan, apakah ketika itu suara-suara Pas mengenai perjuangan Islam dan hak istimewa orang Melayu akan dipedulikan oleh DAP? Berdasarkan sikap DAP sekarang terutamanya di Pulau Pinang, semua orang tahu apa jawapannya. - Utusan

Comments

Popular posts from this blog

Susahnya jadi Isteri Ketua Dewan Ulama Pas Perlis

Ustazah dakwa keinginan seks suami cukup tinggi KANGAR 24 Mac - Seorang ustazah mendakwa suaminya, bekas Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Abdul Rashid Rahman lebih mengutamakan kepuasan seks sendiri tanpa mempedulikan kesihatan dirinya yang ketika itu menderita kesakitan akibat bisul di punggung. Dakwaan tersebut dibuat oleh Siti Rosmala Mohamed, 38, ketika memberikan keterangannya selaku pemohon yang memfailkan permohonan cerai secara fasakh pada 15 Februari 2008 terhadap Abdul Rashid, 60. Siti Rosmala memberikan keterangan tersebut di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Zaidi Abdullah di Mahkamah Rendah Syariah di sini. Ibu kepada tiga anak itu turut mendakwa, walaupun mereka sering bergaduh sehingga tidak bertegur sapa lebih seminggu, namun suami sering kali memaksanya melakukan hubungan seks. "Walaupun seminggu tidak bercakap, selepas saya dimarahi atau dipukul namun dalam soal nafkah batin (hubungan seks), saya mesti berikan biarpun terpaksa," dakwa Siti Rosmala.

Anwar Ibrahim dan One-Zionis

  NED : 1. Anwar Ibrahim 2. Lorne Craner (Yahudi), Presiden IRI 3. Carl Gershman (Yahudi), Presiden NED 4. Kenneth Wollack (Yahudi), Presiden NDI 5. John D Sullivan, Pengarah Eksekutif CIPE Andainya kita terima kononnya KERAJAAN TERSILAP dan terambik supplier yang ada kaitan dengan Israeli dan terguna firma Public Relation Amerika yang ada pejabat di Tel Aviv. Kesilapan supplier PDRM adalah sikap Pak Lah yang leka dan cuai. Sekarang sudah tidak ada masaalah itu. Manakala perkhidmatan APCO tak ada kena mengena dengan geoglobal politics tetapi advisory dalam hal public relation termasuk online media. Dalam dua2 hal ini, kerajaan membayar service dan peralatan. Kita tentukan apa yang kita mahu dari perkhidmatan yang kita mahu. Firma yang kononnya Yahudi bukan penentunya dan mengarah kita. Untuk banding dengan hubungan Anwar dengan Yahudi Zionis, lihat gambarajah yang ada kaitan dengan power-power broker dunia berikut: Dari tiga gambarajah, Anwar bergantung harap kewangan, ke

KISAH BENAR ANWAR IBRAHIM ! BHG 1

1 DENDAM KESUMAT Anwar Ibrahim mempunyai perasaan dendam yang kuat atau dipanggil DENDAM KESUMAT sama ada kawan atau lawan.Dendam yang tak habis-habis terhadap Sanusi Junid, Rahim Tamby Chik, Abdullah Ahmad Badawi dan rami lagi menjadikan beliau tidak popular sebagai pemimpin. 2 PENENTANG Sikap menentang ketua menjadi amalan Anwar sejak aktif dalam UMNO pada tahun 1982. Pada tahun yang sama beliau menentang Suhaimi Kamaruddin untuk merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO. 3 PECAH DAN PERINTAH Sikap pecah dan perintah merupakan strategi Anwar untuk berkuasa dalam UMNO dan kerajaan. Beliau sanggup mengadudumbakan UMNO Kedah bila beliau wujudkan komplot menentang ura-ura Dr. Mahathir untuk melantik Sanusi Junid sebagai Menteri Besar Kedah. Begitu juga beliau mengadakan tekanan terhadap Rahim Tamby Chik sehingga memaksanya meletakkan sebagai Ketua Menteri Melaka. 4 SUMPAH BOHONG Anwar berani bersumpah untuk tidak menentang Ghaffar Baba bagi jawatan T