Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, March 1, 2010

Jangan cantas-mencantas sesama pemimpin - Najib

 

KUANTAN 28 Feb. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengeluarkan satu garis panduan agar semua pemimpin menjauhi perbuatan cantas-mencantas bagi menjamin kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum akan datang.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) juga telah menasihatkan agar pemimpin semua peringkat mengelakkan perbuatan itu kerana ia hanya menimbulkan banyak masalah kepada parti.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Lajim Ukin berkata, Perdana Menteri mengeluarkan garis panduan itu bertujuan menghapuskan budaya cantas-mencantas yang berlaku dalam UMNO dan juga parti-parti komponen BN.

"Kalau cantas-mencantas ini bukan sahaja dalam MCA, dalam parti UMNO juga berlaku. Presiden UMNO telah pun keluarkan satu garis panduan dan juga menasihatkan pimpinan semua peringkat supaya jangan cantas-mencantas. Kalau ini berlaku, kita akan menghadapi masalah dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak pasar tani di pekarangan Stadium Darul Makmur di sini hari ini.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, semua parti komponen perlu bergabung tenaga bagi memastikan kemenangan memihak BN pada pilihan raya akan datang.

Beliau turut menasihatkan pemimpin parti MCA yang sedang bertelingkah supaya tidak mementingkan diri sendiri, sebaliknya mengutamakan kepentingan parti dan masyarakat Cina yang mereka wakili.

"Saya fikir, Presiden MCA (Datuk Seri Ong Tee Keat), dan juga mereka yang bertelingkah ini kena berfikir agar tidak pentingkan diri sendiri, pentingkan parti dan masyarakat Cina yang diwakili oleh MCA dan juga parti Gerakan.

"Kedua-dua parti ini mewakili masyarakat Cina. Kalau MCA tak kuat dan Gerakan juga tidak kuat, mana orang Cina hendak bergantung? Sudah tentu kepada DAP kerana mereka tidak ada pilihan," katanya.

Jelas beliau, kenyataannya itu tidak bermaksud beliau dan UMNO hendak mencampuri urusan dalaman parti lain, sebaliknya hanya ingin membantu supaya mereka kembali bersatu bagi memastikan kemenangan BN pada pilihan raya akan datang.

"Mereka harus sedar, kalau tidak kembali bersatu, mereka akan kalah dalam pilihan raya," katanya.

Dalam pada itu, Lajim berkata, beliau akan mengemukakan permintaan UMNO bahagian Kuantan yang merupakan kawasan angkatnya kepada pucuk pimpinan parti, supaya jawatan Pengerusi BN bahagian itu yang kini disandang oleh MCA dikembalikan kepada UMNO.

Beliau berkata, dalam pertemuan dengannya hari ini, UMNO bahagian tersebut mahu supaya perkara tersebut dikaji semula dengan mengambil kira kedudukan UMNO yang memenangi dua daripada tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum lalu.

"UMNO bahagian juga mahu pucuk pimpinan mengkaji semua tentang pemilihan calon yang juga faktor penentu kemenangan parti, dengan mengambil kira sensitiviti penduduk setempat.

"Walaupun dalam parti komponen, kita mahu calon itu harus faham tentang situasi UMNO dan sensitiviti orang Melayu. Jangan menang, kemudian sensitiviti orang Melayu diketepikan," katanya.

Mengenai kedudukan UMNO bahagian Kuantan, Lajim berkata, beliau telah menasihatkan pemimpin di semua peringkat supaya bekerja kuat dan tidak menunggu sehingga waktu pilihan raya atau dipilih menjadi calon, dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Katanya, mengambil kira kesepakatan di kalangan pemimpin di semua peringkat, beliau yakin UMNO bahagian Kuantan mampu merampas kembali kerusi Parlimen yang terlepas kepada pembangkang pada pilihan raya akan datang.

"Insya-Allah kita akan merampas semula Parlimen Kuantan. Apa yang penting, kita semua bekerja kuat dan turun padang," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...