Dengan tidak menyentuh langsung mengenai siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas PMBK melainkan ketika ditanya wartawan, beberapa Ahli Parlimen Pas berusaha memperlihatkan apa yang berlaku itu adalah satu pengorbanan.
Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, Nik Abdul Aziz dan keluarga telah melakukan pengorbanan yang besar untuk parti dan memastikan perjuangan Pas dapat diteruskan.
"Tok Guru sanggup korbankan keluarga dan menantu sendiri, apa yang ditunjukkan menjadi contoh yang baik.
''Saya anggap apa yang ditunjukkan Menteri Besar Kelantan menjadi contoh dan peringatan kepada pemimpin-pemimpin Pas hari ini dan akan datang bahawa parti serta perjuangan adalah segala-galanya," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.
Semalam, Nik Abdul Aziz meminta Abdul Ariffahmi meletak jawatan sebagai CEO PMBK selepas Pas Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menasihat Mursyidul Am Pas itu mengarahkan menantu beliau agar berbuat demikian.
Nik Aziz bagaimanapun menafikan arahan berkenaan dibuat ekoran siasatan SPRM terhadap menantunya dan sebaliknya menjelaskan tindakan itu bagi mengekang fitnah.
Bekas pengarah Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang juga penulis blog Kickdefella yang diarahkan berhenti dari PMBK serta-merta baru-baru ini berharap, peletakan jawatan Abdul Ariffahmi akan mengembalikan hak rakyat.
Salahuddin bagaimanapun ketika ditanya mengenai siasatan SPRM ke atas menantu Nik Abdul Aziz pula berkata, beliau tidak mahu mencampuri urusan pihak berkenaan.
"Apa yang berlaku dan yang sedang dalam siasatan kita serahkan kepada SPRM, saya tidak mahu masuk campur apa yang menjadi tugas SPRM," katanya.
Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr. Mujahid Yusof Rawa turut cuba melaungkan sentimen yang sama dalam satu sidang akhbar berasingan dengan mengucapkan tahniah kepada Nik Aziz dan menantu beliau.
"Ahli Parlimen Pas mengalu-alukan apa yang dilakukan itu, ia adalah contoh kepada orang ramai," katanya.
Ahli Parlimen Padang Terap, Mohd. Nasir Zakaria berkata, Nik Abdul Aziz telah mengambil satu langkah yang cukup proaktif dalam isu melibatkan menantunya itu. - Utusan
Comments
Post a Comment