bhnews@bharian.com.my
Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar |
Pengakuan Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar - isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad
KUALA LUMPUR: Sumpah taat setia atau baiah jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat Pas yang mengkhianati parti adalah rahsia dalaman parti itu, kata Prof Madya Dr Zaitun Abu Bakar - isteri Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
"Saya tak pernah menghadiri majlis itu, kerana ia adalah rahsia dalaman parti. Saya tidak tahu apakah ungkapan yang dibaca, tapi suami saya memberitahu mereka perlu mengangkat tangan dan melafazkan baiah itu," katanya.
"Bagaimanapun, baiah talak tiga suami saya itu dilakukan buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum Ke-12 tahun lalu. Saya tak tahu sama ada wakil rakyat lain pun buat perkara sama," katanya.
Zaitun yang dihubungi Berita Harian, semalam, berkata beliau tidak takut dengan tindakan suaminya melafazkan baiah talak tiga itu kerana percaya Khalid tidak akan mengkhianati parti.
"Saya tidak takut... dia bukannya nak tukar parti... dia serius dan mengambil berat mengenai hal itu.
"Sebab itu dia mempertaruhkan sesuatu yang berharga... itu adalah antara dia dan Allah," katanya ketika ditanya sama ada beliau sedar mengenai kesan baiah itu yang mengakibatkan talak tiga jatuh dengan sendirinya ke atasnya jika Khalid melompat parti.
Kelmarin, Khalid mempertahankan kenyataannya sebelum ini berhubung kewujudan amalan baiah talak tiga dalam Pas, yang dinafikan pucuk pimpinan parti itu.
Ditanya sama ada isteri wakil rakyat Pas lain pernah menghadiri majlis baiah itu, Zaitun berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan sesama mereka.
Beliau juga berkata, baiah talak tiga diperkenalkan bagi menghalang wakil rakyat melompat parti kerana ada percubaan 'membeli' Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pas di Kelantan selepas Pilihan Raya Umum Ke-11 pada 2004 yang ketika itu hanya mempunyai kelebihan satu kerusi di negeri itu. - Berita Harian
Comments
Post a Comment