PETALING JAYA: Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini melahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap memorandum fitnah yang dilemparkan terhadap bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Shahidan membuat kenyataan ini berikutan sidang media tergempar yang dibuat oleh Mohd Asri semalam, bagi menjelaskan mengenai tuduhan fitnah yang dilemparkan terhadapnya dalam satu memorandum yang dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Tuduhan itu menurut Mohd Asri berikutan penawaran jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) terhadapnya.
Shahidan yang menghubungi mStar Online dari Nottingham, UK sebentar tadi berkata, beliau berpendapat Agong tidak mungkin akan campur tangan dalam perlantikan Mohd Asri sebagai YDP YADIM.
Kata Shahidan, sebagai raja yang adil dan bijakasana, baginda akan menapis segala maklumat dan akan cuba mendapatkan penjelasan dari semua pihak berhubung dengan agama Islam, sekiranya baginda tidak berpuas hati.
Memorandum yang merupakan serangan peribadi terhadap Mohd Asri itu juga antara lain ada menyatakan bahawa umat Islam Malaysia dan Perlis khususnya tidak berpuas hati dengan beliau.
"Ini adalah fitnah dan saya boleh ceritakan keadaan sebenarnya satu hari nanti. Fitnah puak-puak ini tidak sewajarnya mempengaruhi mana-mana pihak untuk membuat apa-apa keputusan kerana semasa di Perlis, Dr Asri tidak membuat apa-apa perkara baru. Sebaliknya, beliau hanya melaksanakan apa yang termaktub dalam undang-undang tubuh Kerajaan Negeri Perlis.
"Majlis agama dan kerajaan sentiasa bersama. Mengapa pula PGSM lebih pandai dari kami membuat analisa?," tanya Shahidan.
Berhubung dengan perkembangan terbaru yang berlaku, Shahidan meminta Mohd Asri supaya tidak menerima perlantikan dalam YADIM.
"Biarlah mereka yang ada sekarang, pegang jawatan sampai mereka puas hati. Mungkin mereka saja yang terbaik di Malaysia. Walaubagaimanapun YADIM haruslah diaudit segera," katanya.
Menurut Shahidan, memorandum fitnah itu mengingatkannya tentang apa yang pernah dilaluinya sebelum ini.
"Saya juga pernah disebut untuk menjadi Pengerusi Tabung Haji tetapi didiamkan kerana kononnya saya ini dari puak 'Wahabi' dan mereka juga tidak menjelaskan apa itu 'Wahabi'," kata Shahidan yang akan kembali ke tanah air pada Selasa depan.
Shahidan juga hairan kenapa perkara pelantikan itu boleh meleret sampai ke peringkat ini.
"Apa lagi hukuman yang mereka hendak jatuhkan kepada kami, saya pun tidak tahu. Saya hanya bersabar dan berserah pada Allah jua.
"Saya juga meminta kepada semua sahabat-sahabat supaya berdoalah pada Allah dengan Doa Huzaifah di zaman Nabi S.A.W untuk percepatkanlah taubat atau azab kepada mereka yang menzalimi kami", katanya.
Kepada mereka yang hebat mendakwa, kononnya mendapat sokongan umat Islam di Malaysia jika dibandingkan dengan Mohd Asri, beliau berkata: "Eloklah media elektronik dan media cetak membuat survey berhubung hal ini." - Mstar online
Comments
Post a Comment