KOTA BHARU 24 April – Badan Perhubungan UMNO Kelantan mendesak Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memberi penjelasan sebenar berhubung pemberian habuan balak dan hutan simpan sepanjang beliau menerajui kerajaan.
Ketua Penerangannya, Dali Hussin berkata, bukanlah suatu yang mengejutkan apabila isu balak itu didedahkan oleh blogger dengan paparan sebilangan dokumen sebagai bukti berhubung isu tersebut.
"Nik Abdul Aziz mungkin tidak tahu apa yang berlaku dan tidak mahu ambil tahu selain berceramah sedangkan ia bukan suatu persoalan kecil biarpun yang dianggap menyerang kepimpinannya hanyalah seorang blogger.
"Blogger itu adalah seorang anak Kelantan dan dia berhak ambil peduli terhadap apa-apa kepincangan yang diketahuinya berlaku berterusan kerana ia tidak menguntungkan Pas, rakyat dan negeri.
"Soal ini dikaitkan dengan sebahagian daripada moral dan barisan kepimpinan negeri, tanggungjawab dan amanah yang dipegang oleh mereka dan sejauh mana khazanah negeri ini tertumpah kepada rakyat,'' ujarnya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas reaksi keras Nik Abdul Aziz terhadap blogger, Syed Azidi Syed Abdul Aziz atau lebih dikenali Kickdefella, dengan cercaan sebagai `mabuk dan mengarut'. - Utusan
Comments
Post a Comment