KUALA LUMPUR 20 Mac - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mempunyai kredibiliti dan integriti sebagai ketua pembangkang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana tidak berani menjawab pendedahan mengenai pembohongannya berhubung rancangan 'kerajaan 16 September'.
Penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, kegagalan Anwar menjawab pendedahan Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada sidang Dewan Rakyat dan ditambah pula dengan cubaan 'melarikan' diri ke luar negara membuktikan ketua pembangkang itu mempunyai moral politik yang rendah.
"Sebagai seorang yang mendabik dada kononnya beliau bakal menjadi Perdana Menteri, pendirian Anwar untuk tidak membalas pendedahan ahli Parlimen Bayan Baru dengan keluar daripada Dewan Rakyat jelas membuktikan beliau tiada integriti dan kredibiliti, sedangkan pada masa itu kewibawaannya sebagai ketua pembangkang diserang.
"Adalah sesuatu yang pelik juga apabila seorang pemidato yang hebat seperti Anwar tidak mampu membalas 'serangan' yang ditujukan kepada beliau, sebaliknya mengambil keputusan 'menenangkan' diri di Eropah," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kegagalan Anwar untuk membalas semua pendedahan Zahrain berhubung pembohongan dalam rancangan 16 September yang dirancang khusus oleh ketua pembangkang itu bagi merampas pemerintahan Kerajaan Persekutuan.
Zahrain semasa sidang Dewan Rakyat mendedahkan bagaimana Anwar sanggup mengheret nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam mainan politik, kononnya baginda memperkenan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri keenam.
Dedah Zahrain lagi, Anwar juga berbohong apabila mendakwa pelantikan beliau disokong oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain, salah seorang Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersetuju untuk mempengerusikan persidangan bagi mendengar usul undi tidak percaya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).
Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, Anwar tidak sepatutnya 'melarikan' diri kerana rakyat ingin tahu sejauh mana kebenaran semua pendedahan yang dibuat oleh Zahrian yang juga merupakan bekas salah seorang sahabat karibnya selama 30 tahun.
Ditanya bagaimana Anwar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) ingin berdepan dengan pendedahan itu, beliau berkata, tindakan Zahrain kini menyebabkan parti tersebut berada dalam kelemasan, sehinggalah mereka menemui isu baru bagi mengalih perhatian masyarakat.
"Apa yang dibuat oleh Zahrain adalah umpama 'bom jangka' yang langsung tidak diduga oleh pakatan pembangkang dan Anwar sendiri sehingga mereka kini tiada jawapan untuk menangkis serangan tersebut.
"Anwar dan pakatan pembangkang kini terperangkap dalam 'jerangkap samar' yang dicipta oleh mereka sendiri kerana terlalu memperkecilkan kemampuan Zahrain sedangkan semua maklumat sulit parti tersebut berada dalam 'poket' bekas ahli PKR itu,'' jelasnya.
Dalam pada itu, Pensyarah Politik dan Pentadbiran Awam Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, imej Anwar sebagai ketua pembangkang terutamanya di kalangan wakil rakyat pembangkang musnah dengan pendedahan berani tersebut.
Katanya, perkara itu dapat dilihat daripada raut wajah serta jumlah bilangan wakil rakyat pembangkang yang tampil dan bangun mempertahankan Anwar semasa pendedahan itu dibuat pada Rabu lalu. - Utusan
Comments
Post a Comment