PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbual dengan wakil pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ketika mengunjungi Teres Eko Niaga di UKM, Bangi di sini, hari ini.
BANGI, 12 Mac (Bernama) -- Pembangunan modal insan merupakan salah satu daripada tiang seri dalam pembentukan model ekonomi baru untuk negara yang akan dilancarkan hujung bulan ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat.
Dalam konteks ini, Perdana Menteri berkata jika kualiti modal insan, modal intelek dan keupayaan minda di kalangan warga universiti seperti ahli akademik, pensyarah, mahupun pelajar tidak dapat dipertingkatkan, maka akan terencatlah hasrat kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berteraskan pengetahuan dan inovasi.
"Bila kita sebut negara maju dan berpendapatan tinggi, maka eleman yang boleh menyokong objektif tersebut tidak lain dan tidak bukan ialah kemampuan kita dari segi modal intelektual dan juga kemahiran," katanya semasa berucap di hadapan lebih kurang 200 orang ahli akademik, pegawai tadbir, kakitangan dan pelajar di foyer Bangunan Canselori Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini.
Lawatan beliau ke UKM pada Jumaat merupakan sebahagian daripada siri lawatannya untuk berinteraksi secara tidak formal dengan warga universiti. Sebelum ini beliau telah mengadakan lawatan yang sama ke Universiti Islam Antarabangsa (UIA).
Najib berkata pembangunan modal insan dari segi keintelektualan dan kemahiran dan juga nilai-nilai murni termasuk etika kerja ini adalah merupakan prasyarat dalam usaha kerajaan melakukan transformasi besar terhadap negara ini.
Katanya, dalam misi mencapai hasrat ini, maka kedudukan sistem pendidikan bermula dari peringkat bawah iaitu pra-sekolah sehinga peringkat universiti akan diberi perhatian oleh kerajaan.
"Kita telahpun mula dengan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kita perluaskan lagi pendidikan pra sekolah ...kita ada program Permata dan sebagainya untuk bangunkan peringkat akar umbi atau peringkat seawal mungkin dan seterusnya sampai ke peringkat menara gading," katanya.
Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh mengenai pengumumannya pada Selasa lepas mengenai peningkatan skim lebih baik untuk para profesor di universiti tempatan yang bertujuan membuka peluang kepada mereka meningkatkan kedudukan setimpal dengan pengetahun mereka.
"Saya harap dengan ini kita dapat 'membuka potensi' di kalangan warga universiti terutama di peringkat warga akademik yang ada kemampuan besar bagi menyumbang kepada pembangunan modal intelektual," katanya.
Perdana Menteri berkata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan akan memperincikan lagi mengenai pengumuman tersebut dalam satu mesyuarat minggu depan.
"Dengan ini, kita akan mewujudkan satu sistem yang boleh memberi suntikan, semangat dan motivasi untuk mereka (para pensyarah) terus mendalami ilmu pengetahuan serta mempertingkatkan kemampuan mereka setanding dengan universiti-universiti terkemuka di negara-negara lain," katanya. -- BERNAMA
Comments
Post a Comment