Kemelut dalaman, isu moral, agenda perjuangan Anwar semakin gugat keyakinan rakyat
DATUK Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengakui secara terbuka Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini dilanda masalah, selepas merayakan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum, 8 Mac 2008.
Jika dua tahun lalu beliau dengan lantang menyuarakan projek 16 September untuk menawan Putrajaya, kini Ketua Umum PKR itu mengakui keadaan sudah berubah dan parti serpihan Umno itu berdepan pelbagai kemelut dalaman yang boleh menggugat keyakinan rakyat.
"Ini masalah kita, ada pengajaran juga... sekarang ini Keadilan (PKR) menghadapi masalah sedikit, tetapi pengajaran yang baik," katanya ketika menyampaikan ceramah politik di Pulau Gadong, Melaka, minggu lalu.
Beliau terpaksa berkata demikian kerana tiga anggota Parlimennya � Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Pada 2009, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan seorang DAP meninggalkan parti masing-masing menyebabkan pakatan pembangkang hilang kuasa di Perak.
Sabtu lalu pula, PKR bertindak memecat Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin kerana dikatakan melanggar dasar parti. Beberapa lagi Ahli Parlimen dan Adun dijangka bertindak keluar parti dengan pelbagai alasan.
Tindakan mereka tidak memeranjatkan kerana sebagai pertubuhan siasah yang baru, PKR belum mantap, sama ada dari segi ideologi, pengurusan kepartian dan kekuatan mental ahli berbanding apa dimiliki Umno, Pas dan DAP yang menjadi tunjang sistem berparti di negara ini.
Kemelut yang berlaku dalam PKR juga adalah ulangan dalam sejarah parti serpihan yang wujud di negara ini. PKR, seperti juga Parti Negara dan Semangat 46 adalah parti serpihan Umno, yang wujud selepas pemimpinnya tidak sebulu dengan pemimpin parti asalnya.
Parti Negara ditubuhkan beberapa bulan sebelum pilihan raya pertama negara pada 1955 oleh Datuk Onn Jaafar kerana bercanggah pendapat dalam isu menuntut kemerdekaan dari Britain. Parti Negara gagal mendapat perhatian rakyat kerana Umno yang diterajui Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj berjaya menyatupadukan � gabungan Umno, MCA dan MIC yang mewakili penduduk pelbagai kaum.
Semangat 46 pula ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah sebagai reaksi pengharaman Umno pada 1988. Matlamat perjuangannya untuk memulihkan Umno asal dibatalkan kewujudannya selepas pertandingan jawatan Presiden Umno antara Tengku Razaleigh dan Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1987.
PKR ditubuhkan pada 1999 ekoran hukuman penjara terhadap Anwar yang dikaitkan dengan isu salah laku dan moral. PKR tidak mempunyai agenda besar selain perjuangan untuk membela nasib Anwar yang dikatakan teraniaya.
Justeru, dengan lantang, PKR muncul bersama slogan menuntut keadilan, membanteras gejala rasuah, menentang salah guna kuasa dan pencabulan sistem kehakiman negara. PKR juga dengan bangga mendabik dada sebagai jaguh pelbagai kaum. Keahliannya dibuka kepada semua kaum. Dasar parti pula dikaitkan dengan hak sama rata tanpa batasan agama dan bangsa.
Perjuangan PKR yang diyakini suci berjaya menarik perhatian ramai pada 2008 ketika Umno diterajui pimpinan lemah ketika itu. Isu kaum, demokrasi, hak sama rata ekonomi menyebabkan timbul cadangan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru yang dikatakan menguntungkan segelintir pembesar Melayu.
Anwar dan rakan mereka dalam pakatan pembangkang membuktikan suara pembangkang semakin jelas apabila menafikan kerusi dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-12. Mereka juga menguasai Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Perak (kini Perak dikuasai semula BN).
Bagaimanapun PKR tetap sebuah parti serpihan yang sukar untuk meneruskan perjuangannya. Pelbagai masalah dalaman berlaku secara ketara. Isu moral bukan rahsia umum. Pemilihan calon pada pilihan raya umum lalu menimbulkan pertikaian. Jika Umno, Pas dan DAP memilih calon terbaik yang diyakini kesetiaan kepada parti, PKR pula memilih orang yang bukan sepatutnya.
Justeru, tidak menghairankan apabila barisan wakil rakyat PKR boleh dipertikai kewibawaannya. Ada bekas posmen, pesara tentera, juru gambar dan 'tauke demonstrasi' terpilih ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri. Latar belakang politik mereka amat meragukan.
Sejarah parti serpihan berulang di atas paksi sama. Serpihan Pas seperti Berjasa dan Hamim hanya wujud seketika di atas pentas politik tanah air. Berjasa ditubuhkan oleh Datuk Muhammad Nasir dan Datuk Wan Hashim Ahmad ekoran krisis politik di Kelantan pada 1977. Hamim pula muncul selepas bekas Presiden Pas, Tan Sri Asri Muda tidak sebulu dengan ahli parti pimpinannya dan menubuhkan pertubuhan siasah baru. Kedua-dua parti itu hanya muncul tiga kali pilihan raya umum dan kemudian lenyap ditelan waktu.
DAP juga tidak terkecuali menerbitkan parti serpihan sendiri iaitu Socialist Democratic Party (SDP) pimpinan bekas Ahli Parlimen Menglembu, Fan Yew Teng. Krisis dalaman parti itu tiga dekad lalu tidak menggugat pimpinan Lim Kit Siang dan DAP. Yang lebur adalah parti serpihannya. Begitu juga di Sabah apabila Berjaya yang ditubuhkan oleh Datuk Haris Salleh hanya muncul seketika untuk menggantikan Usno. Kini kedua-duanya lenyap dan Umno bertapak kukuh di Negeri di Bawah Bayu itu.
Hampir semua parti serpihan berkubur tanpa pusara. PKR juga bakal mengulangi drama yang sama jika sindrom melompat parti gagal dibendung. Dalam hal ini, Anwar bukan sekadar memerlukan kemahiran berpidato, juga kemahiran untuk meyakinkan ahli mengenai perjuangan parti.
Parti yang tanpa sokongan ibarat kopi O tanpa gula. Ia akan pahit dan terus menjadi igauan dalam sejarah politik tanah air. Apakah Anwar juga bakal tercatat dalam sejarah sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri yang terus kempunan menuju cita-cita siasahnya? Apakah sejarah Parti Negara, Semangat 46, SDP, Berjasa, Hamim dan Berjaya bakal berulang sekali lagi? - Berita Harian
Comments
Post a Comment