1Malaysia diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengambil alih pentadbiran negara pada 3 April 2009. Konsep tersebut muncul ketika keadaan politik tidak menentu, pertumbuhan ekonomi global berada dalam krisis dan lebih daripada itu, perpaduan dalam negara dianggap rapuh. Konsep, gagasan, slogan, agenda ataupun dasar 1Malaysia, namakan apa sahaja tetapi ia mempunyai hubungan utuh sebagai jambatan kesinambungan kepimpinan lalu ke arah satu transformasi holistik. Ia hanya akan berjaya jika anggota masyarakat memiliki iltizam yang kuat untuk memahami dan mahu memahami bagi merealisasikan matlamat asasnya. Dalam ucapan beliau sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-52 pada 2009, Najib menyatakan bahawa cabaran besar rakyat Malaysia adalah membaik pulih jambatan yang sedia ada, di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama anggota masyarakat. Apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik, malah boleh musnah jika tidak berhati-hati denganny...