Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, August 28, 2010

BENDERA : Penunjuk Perasaan Upahan

Tindakan memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di hadapan bangunan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Isnin lalu merupakan perbuatan sekumpulan penunjuk perasaan upahan.
PENUNJUK perasaan membakar bendera Malaysia di hadapan Kedutaan Besar Malaysia Indonesia di Jakarta.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara itu tidak perlu dihairankan kerana di Indonesia terdapat kumpulan penunjuk perasaan yang diupah oleh pihak-pihak tertentu jika timbul satu-satu isu.

Beliau percaya dalang yang mengupah kumpulan penunjuk perasaan dalam demonstrasi tersebut mahu merenggangkan hubungan Malaysia dan Indonesia.

“Saya tidak hairan kerana di Indonesia ada kumpulan upahan. Kita mesti bezakan bahawa ini adalah tindakan yang diupah oleh pihak tertentu untuk merenggangkan hubungan kita dengan kerajaan Indonesia.

“Saya tidak anggap ini sebagai mencerminkan pendirian pemerintah Indonesia malah hubungan kita dengan Indonesia sangat baik dan sangat erat. Kita amat selesa dengan hubungan ini,’’ katanya.

Najib berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan sekumpulan rakyat Indonesia memijak Jalur Gemilang dan melempar najis manusia ketika berdemonstrasi di depan bangunan Kedutaan Malaysia di Jakarta Isnin lalu.

Ekoran kejadian tersebut, pasukan keselamatan Indonesia telah mempertingkatkan kawalan di Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi mengelakkan kejadian serupa berulang.

Bagaimanapun ia tetap berulang semalam apabila kumpulan itu terus bersikap liar dengan membakar dan meludah Jalur Gemilang serta bergaduh dengan pasukan polis Indonesia yang mengawal di kawasan kedutaan tersebut.

Seramai 600 orang menyertai demonstrasi itu sambil berteriak ‘Ganyang Malaysia’ bagi membantah apa yang mereka dakwa pencerobohan pihak berkuasa Malaysia di sempadan perairan kedua-dua negara, berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, 13 Ogos lepas.

Najib dalam pada itu turut mengingatkan supaya tidak ada sesiapa yang sengaja merosakkan hubungan antara kepimpinan Malaysia dan Indonesia.

Sambil menyifatkan tindakan itu sebagai amat meresahkan rakyat Malaysia, beliau menegaskan, tujuan penunjuk perasaan adalah untuk mencetuskan kemarahan di kalangan rakyat negara ini.

“Itulah niat sebenar mereka. Mereka mahu kita bertindak balas, menimbulkan kemarahan supaya hubungan kita dan Indonesia menjadi renggang. Oleh itu kita jangan terperangkap dengan permainan ini.

“Di peringkat Kabinet kita telah membincangkan isu ini dan kita juga telah memanggil Duta Indonesia di Malaysia dan kita telah meminta pihak berkuasa Indonesia mengambil langkah kawalan lebih ketat bagi menghindarkan perkara seperti ini berulang,’’ ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...