Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, June 27, 2012

Kes Diplomat Terbabit Dalam Perhimpunan Bersih Akan Ditangani Oleh Malaysia, Singapura

BERSIH 3.0 di Singapura
SINGAPURA, 26 Jun - Kes diplomat Singapura yang didakwa terlibat dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada April akan ditangani oleh kementerian dalam negeri kedua-dua negara.

Menteri Dalam Negeri Malaysia Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Singapura dan Malaysia telah bersetuju kementerian masing-masing menangani perkara berhubung perhimpunan haram itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama Penguatkuasaan Dadah antara Malaysia dan Singapura di sini.

Hishammuddin dan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Singapura Teo Chee Hean menandatangani MoU itu bagi pihak kedua-dua kementerian di Kementerian Dalam Negeri Singapura.

Turut hadir Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura Datuk Md Hussin Nayan.

Pada 22 Jun, Pesuruhjaya Tinggi Singapura Ong Keng Yong dipanggil ke Wisma Putra berhubung dakwaan penglibatan tiga diplomat dari Suruhanjaya Tinggi itu dalam perhimpunan Bersih 3.0.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata beliau telah memanggil Ong ke pejabatnya untuk menyampaikan rasa tidak senang kerajaan Malaysia berhubung penglibatan ketiga-tiga diplomat itu dalam perhimpunan itu.


Oleh Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah Sumber : BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...