KEPUTUSAN kerajaan tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan LPG pada masa ini disambut gembira oleh pemilik kenderaan negara ini. Syukurlah harga petrol di negara ini masih bertahan.
Kita berasa lega kerana sebelum ini sudah ada laporan dalam media dan blog yang menjangkakan harga petrol itu akan naik disebabkan peningkatan harga minyak dunia.
Tindakan kerajaan ini adalah satu langkah yang sangat proaktif untuk membantu rakyat.
Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Mohd Ismail Sabri mengumumkan tiada kenaikan ketiga-tiga jenis bahan api tersebut. Keputusan ini dibuat kerana kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.
Jadi, rakyat jangan bimbang kerana setiap tindakan kerajaan mengambil kira beban serta kos hidup yang dihadapi oleh mereka.
Hakikatnya Kerajaan Pusat nampaknya masih bersedia mengeluarkan sejumlah subsidi yang lebih besar bagi memastikan kos perbelanjaan harian rakyat mampu dikawal.
Kita berharap keputusan kerajaan itu membantu para peniaga yang sentiasa bergantung kepada keadaan harga semasa bahan api di pasaran. Sekali harga bahan api dinaikkan, kesan dominonya amat panjang. Paling teruk menerima kesannya ialah para pengguna yang terdiri daripada rakyat biasa.
Berbanding dengan pengurangan subsidi terhadap gula baru-baru ini, harga bahan api selalunya mempengaruhi harga barangan pengguna, memandangkan ia akan menambah kos pengangkutan.
Sekali harga barangan naik, amat sukar untuk dilihat harganya diturunkan kembali.
Sebab itu keputusan kerajaan terhadap harga bahan api tersebut, sekurang-kurangnya dapat meringankan beban serta kos hidup yang dihadapi oleh rakyat.
Jika berdasarkan rancangan penyelarasan subsidi yang dicadangkan oleh Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU), harga petrol RON95 sepatutnya telah dinaikkan oleh kerajaan sekarang.
Mengikut perancangan, kenaikan dilakukan dengan dua pelarasan - iaitu 15 sen sekitar akhir tahun lalu dan 10 sen lagi pada separuh masa pertama tahun ini.
Tetapi hakikatnya kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak mempertahankan harga RON95, diesel dan LPG tetap kekal seperti sekarang.
Oleh kerana ketidaktentuan harga petrol di pasaran dunia terutama apabila berlaku kenaikan, kebanyakan peniaga kita mengeluh tetapi awal-awal lagi sudah menaikkan harga barangan dan perkhidmatan mereka.
Hal ini ditambah dengan ramalan kenaikan harga petrol RON95 baru-baru ini. Oleh kerana kerajaan tidak berhasrat menaikkannya, bilakah lagi peniaga berhasrat untuk menurunkan semula harga keluaran mereka.
Entah mengapa, kenaikan harga bahan api mungkin tidak disenangi oleh golongan peniaga. Tetapi turun atau kela pun tidak dilakukan apa-apa. Mereka akan beri seribu satu alasan.
Sikap tamak dan tidak bertimbang rasa kepada pengguna mungkin sukar dinafikan jika peniaga terlalu mengira dari sudut untung rugi. - UTUSAN
Comments
Post a Comment