Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, November 2, 2009

Bekas Mufti Perlis ditahan Jais

KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin ditahan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Beliau ditahan di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 pengikut.

Apabila pasukan Jais memasuki premis berkenaan sekumpulan lelaki cuba menghalang anggota penguat kuasa menahannya.

Turut berada dalam banglo berkenaan ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib, yang turut mempertikaikan kesahihan tindakan Jais untuk menahan Dr Mohd Asri.

Anggota Jais dikatakan memasuki banglo berkenaan kira-kira jam 9 malam dan kelihatan membawa Dr Mohd Asri keluar pada jam 12.10 ke Balai Polis Hulu Klang.

Polis yang memantau operasi turut berdepan masalah kerana tidak mempunyai waran tangkap dan hanya menjadi perantara bagi urusan membawa Dr Mohd Asri dan beberapa pengikutnya ke balai polis untuk diambil keterangan.

Turut mengiringi beliau ke balai polis ialah Zuraida, Saari dan beberapa pengikutnya menaiki kenderaan Jais. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...