Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, November 18, 2009

BN sedia tanding DUN Kota Siputeh

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Barisan Nasional (BN) sedia bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh, Kedah jika Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, BN akan akur dan menghormati sebarang keputusan mahkamah serta menghadapinya mengikut peraturan.

"Jika kita boleh merayu, kita rayu. Apa saja mahkamah putuskan, kita akan terima," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan dan Pameran BioMalaysia 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.

Sementara itu, di ROME, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh sebagai kosong dan kemungkinan diadakan pilihan raya kecil perlu dijadikan iktibar oleh semua wakil rakyat BN.

Timbalan Perdana Menteri yang kecewa dengan sikap sesetengah wakil rakyat BN, juga mengingatkan mereka mengenai tugas dan tanggungjawab wakil rakyat bahawa kehadiran tidak memadai jika hanya untuk memenuhi korum, sebaliknya perlu membawa masalah rakyat untuk dibincangkan dan diselesaikan.

Beliau yang juga Ketua Whip Dewan Rakyat berkata, wakil rakyat perlu menghapuskan sikap negatif seperti malas menghadiri persidangan dewan, sebaliknya memainkan peranan yang berkesan untuk kepentingan rakyat dan pengundi.

"Saya kecewa (ketidakhadiran wakil rakyat ke persidangan dewan) kerana alam situasi genting sekarang kita perlukan semua wakil rakyat Parlimen mahupun DUN menghadiri persidangan dewan.

"Itu tanggungjawab penting wakil rakyat... melaksanakannya sepenuh hati dan tidak boleh abaikan atau tidak beri perhatian," katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Keselamatan dan Jaminan Makanan Dunia 2009 di sini, semalam.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kelmarin mengisytiharkan kerusi DUN Kota Siputeh kosong, sekali gus memerlukan pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan itu.

Hakim Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin memutuskan kerusi itu kosong selepas penyandangnya, Datuk Abu Hassan Sarif, daripada BN tidak menghadiri dua persidangan DUN tahun ini.

Perkara 51 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan bahawa jika mana-mana Adun tidak menghadiri sidang DUN tanpa kebenaran Speaker selama dua persidangan berturut-turut, kerusi diwakilinya akan menjadi kosong. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...