Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, November 1, 2009

Kumpulan pro-Anwar, Kit Siang hakis kepercayaan terhadap Pas


Oleh Mohamed Mustafa Ishak

Gaya kepemimpinan Hadi bendung pengaruh PKR, DAP meluas

SELEPAS hasrat untuk melihat satu mesyuarat agung khas (EGM) atau muktamar khas parti diadakan ditolak oleh mesyuarat khas kepemimpinan Pas Pusat pada malam Khamis lalu, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan penyokongnya yang pro-Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang, terpaksa berpuas hati dengan keputusan mengadakan satu seminar politik pada 7 November ini bagi membicarakan mengenai hala tuju Pas dalam politik negara.

Nampaknya selepas segala kemelut politik yang melanda negara berikutan keputusan Pilihan Raya Umum Mac 2008, Pas masih belum pasti dan yakin, malah masih berbelah-bahagi apakah sikap dan pendirian yang harus mereka ambil dalam menghadapi perjalanan politik parti dan negara menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 dalam masa tiga atau empat tahun lagi.

Seminar politik 7 November ini mungkin tidak begitu diperlukan sekiranya parti itu cukup jelas hala tuju yang mahu diambilnya.

Namun, bolehlah kita membuat rumusan bahawa seminar itu diadakan sebagai satu kompromi kepada idea EGM Pas yang diusulkan Nik Aziz bagi menyingkirkan Presiden Pas dan penyokong kuatnya daripada tampuk kepemimpinan parti itu.

Persoalannya, apa yang mahu dibicarakan dalam seminar itu belum begitu jelas. Apakah isu atau topik penting yang mahu dibahaskan dan siapa pula tokoh yang bakal diundang bagi membentangkan kertas kerja pada seminar itu dan apakah resolusi yang bakal terhasil.

Jika Pas berhasrat mendapatkan maklum balas dan pandangan yang jujur, ilmiah dan kritis mengenai hala tujunya, parti itu harus terbuka, telus dan inklusif dalam menganjurkan seminar itu. Jika tidak, seminar itu seperti mana sekian banyak seminar lainnya, hanya menjadi medan retorik politik yang tiada pelan tindakan susulan bagi mendatangkan hasil yang diharapkan.

Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang dan Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa tentunya arif bahawa seminar itu tidak seharusnya 'dirampas' oleh golongan pro-Anwar dan Kit Siang di dalam dan luar parti bagi mengkritik dan mempertikaikan kepemimpinan mereka, sekali gus mempengaruhi hala tuju Pas yang sedang difikirkan dengan serius dan mendalam oleh Presiden dan Timbalan Presiden. Kedua-duanya tentu tidak mahu pengaruh atau kepemimpinan mereka dilihat lemah menerajui parti itu dalam menghadapi saat genting yang sedang teruji dengan kemelut politik nasional, dalam pakatan pembangkang dan Pas sendiri.

Hingga saat ini, Hadi dilihat masih menguasai parti itu. Tindakan beliau memanggil segera satu mesyuarat khas parti hanya dalam beberapa hari selepas idea mengenai EGM bagi menyingkirkan beliau dan penyokong setianya dicetuskan Nik Aziz, memperlihatkan kebijaksanaan beliau dalam politik. Malah, beliau berjaya menepis segala kritikan terhadapnya dan penyokongnya serta menggagalkan idea EGM Nik Aziz yang mungkin menjerumuskan Pas dalam kancah krisis kepemimpinan yang memudaratkan parti itu.

EGM itu jika berlangsung mungkin berkesudahan dengan terbelahnya Pas dan tidak mustahil berakhir dengan lahirnya parti serpihan seperti Berjasa dan Hamim satu ketika dulu. Hadi sebenarnya berjaya menyelamatkan parti itu daripada berpecah-belah. Ternyata, beliau berjaya membendung pengaruh golongan pro-Anwar dan Kit Siang dalam parti itu yang berjaya memperalatkan Mursyidul Am Pas bagi melemahkan kepemimpinannya.

Atau sememangnya aura Nik Aziz dalam Pas sudah mulai pudar? Kemerosotan pengaruh Pas dalam pilihan raya di Manek Urai dan Bagan Pinang jelas dan nyata memperlihatkan bahawa pendekatan dan arah tuju parti itu menurut acuan Nik Aziz sebenarnya akan terus melemahkan pengaruh Pas dalam politik nasional, khususnya di kalangan orang Melayu. Ternyata juga bahawa pengaruh penyusupan golongan pro-Anwar dan Kit Siang dalam parti itu semakin menghakis kepercayaan orang Melayu kepada Pas.

Namun, pengaruh kelompok ini yang gagal menguasai Pas pada pemilihan parti beberapa bulan lalu masih lagi wujud dan mereka kelihatan tidak berpuas hati dengan kegagalan tempoh hari, malah berusaha keras menguasai Pas dengan apa cara sekali pun. Hadi barangkali sudah belajar daripada pengalaman Umno betapa pengaruh kelompok pro-Anwar ini yang berjaya menyusup jauh ke dalam Pas jika gagal dibendung dengan cermat dan berkesan, akan memecah belah dan merebahkan Pas seperti Umno hampir rebah pada 1998 selepas pemecatan Anwar daripada kerajaan dan parti. Hadi dan Nasharuddin sebenarnya nampak apa yang Nik Aziz gagal melihatnya.

Hadi juga melihat betapa dasar dan perjuangan luhur Pas sudah banyak dikompromikan kerana terlalu menghormati Nik Aziz yang terang-terang sudah diperalatkan oleh kelompok propemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam parti itu. Kerjasama Pas dengan DAP dan PKR dalam pakatan pembangkang sudah mengorbankan banyak prinsip dan dasar perjuangan Pas dalam politik nasional. Perjuangan, ideologi dan dasar 'Negara Islam Pas' hancur lebur dikeronyok DAP dan PKR. Sebaliknya, Pas kekal pada takuk lama di Kelantan, Kedah dan Terengganu, sementara DAP dan PKR menguasai negeri yang kaya dan terus unggul menentukan hala tuju pakatan. Pas yang lebih 'senior' dan berpengalaman serta mempunyai jentera dan kekuatan parti yang jauh lebih mantap daripada DAP dan PKR hanya menjadi penumpang kelas ekonomi dalam pesawat yang 'juruterbang' dan 'pembantu juruterbang' adalah PKR dan DAP.

Inilah dilema dan realiti pahit yang harus ditelan oleh Hadi dan barisan kepemimpinan Pas yang teguh dengan perjuangan Islam Pas setelah menyerahkan kepemimpinan pakatan kepada Anwar dan Kit Siang. Pemimpin Pas kelompok pro-PKR dan DAP pula hanya ghairah merebut saki baki 'ghanimah' yang masih bersisa di negeri yang dikuasai pakatan. Kelantan dan Kedah yang dikuasai Pas adalah dua negeri miskin yang tidak banyak dapat memberi nikmat kuasa kepada mereka. Sebaliknya, pemimpin Pas kelompok pro-Anwar dan Kit Siang terus terpukau dengan janji manis pemimpin PKR itu sekiranya mereka berjaya terus meliberalkan Pas dan membawa parti itu lebih menghampiri dasar perjuangan PKR dan DAP. Sebahagian pemimpin Pas kelompok ini di Selangor dan Perak juga rata-ratanya baru pertama kali merasai nikmat kemenangan dan berkuasa.

Justeru, mereka mahu merasai lebih nikmat kuasa jika terus hampir dengan PKR dan DAP, walaupun dengan mengorbankan prinsip perjuangan Pas sendiri. Perkara ini barangkali tidak disedari, apa lagi dirasai Nik Aziz yang sudah lama berkuasa di Kelantan dan berpuas hati dengan cara hidup zuhud yang beliau amalkan selama ini. Namun, kezuhudan Nik Aziz tidak diamalkan sepenuhnya oleh penyokongnya yang pro-Anwar dan Kit Siang yang mahu menyingkirkan Abdul Hadi. Inilah kelebihan Abdul Hadi yang kelihatannya lebih matang berpolitik setelah kehilangan jawatan Menteri Besar Terengganu dan melalui detik kemenangan dan kejatuhan dalam politik. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...