Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Saturday, November 14, 2009

Najib lantang : Malaysia tolak dasar perlindungan


Najib Tun Razak menjawab soalan delegasi pada Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasific (APEC) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Suntec, Singapura, semalam. - BERNAMA

SINGAPURA 13 Nov. - Malaysia memberi mesej jelas pada sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik bahawa ia menolak sebarang dasar perlindungan dan mahu rundingan Pusingan Doha disempurnakan.

Ini ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).

Sambil disambut tepukan gemuruh para hadirin, beliau menegaskan sokongannya terhadap perdagangan bebas dan memastikan bahawa usaha dilaksanakan bagi mencapainya.

Dengan merujuk kepada bekas Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush, beliau berkata: "Apa yang saya suka terhadap dasarnya ialah dia penyokong perdagangan bebas walaupun saya mungkin tidak menyukai dasar-dasarnya yang lain."

Najib kemudian menyebut bahawa dia mengulangi iltizam pemimpin-pemimpin dunia dalam sidang APEC tahun lalu di Lima, Peru yang bersepakat menolak dasar perlindungan sebagai cara terbaik memulihkan kestabilan dan pertumbuhan ekoran krisis ekonomi dunia.

Sementara Pusingan Doha merujuk kepada rundingan Agenda Pembangunan Doha Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang terhenti ekoran kegagalan pencapaian persetujuan pada Julai tahun lalu dan diharapkan dapat diselesaikan tahun depan.

Kenyataan Najib adalah sebagai jawapan kepada kebimbangan banyak pihak bahawa kerajaan-kerajaan di dunia cenderong untuk mengamalkan dasar perlindungan ekoran kemerosotan ekonomi baru-baru ini.

Perdana Menteri memberi jawapan itu ketika menjadi panel dalam Sidang Kemuncak Ketua Eksekutif APEC di bawah tajuk Adakah krisis global benar-benar berakhir?

Sidang itu dihadiri oleh ketua-ketua eksekutif korporat, pegawai-pegawai tinggi kerajaan mengenai perdagangan dan ekonomi serta ahli-ahli akademik.

Terdahulu dalam ucapan panel sidang itu, Najib berpendapat bahawa krisis global itu sudah berakhir tetapi dengan dua syarat.

Pertama katanya, soal sama ada keadaan ekonomi yang pulih ini dapat bertahan dan kedua, sama ada ia dapat kembali pada keadaan sebelum berlalunya krisis.

Beliau kemudian menyebut bagaimana negara-negara yang mempunyai pasaran dalaman yang lebih besar seperti China, India dan Indonesia dapat mengharungi ekonomi menurun dengan lebih baik berbanding dengan negara-negara yang berhubungan besar dengan pasaran global seperti Malaysia dan Singapura.

Menurutnya, sebagai sebuah negara perdagangan boleh dikatakan Malaysia tidak dapat melepaskan hubungannya dengan barat apabila krisis ekonomi ini berlaku.

Dalam hal ini, katanya sikapnya menolak dasar perlindungan adalah bertujuan supaya pemulihan ini dapat dipertahankan.

Dalam hal ini beliau percaya cara bagi mengekalkan pemulihan ekonomi adalah tidak menarik balik pakej fiskal awal daripada sepatutnya sebelum pemulihan sebenar berlaku dalam sektor swasta.

Sehubungan ini, Najib juga menyatakan keperluan dunia mengkaji semula rupa bentuk kewangan global supaya kawalan dapat dibuat ke atas produk-produk derivatif yang luar biasa kerana jika tidak, ia boleh melumpuhkan perjalanan ekonomi.

Beliau juga menyatakan keperluan diwujudkan model baru, strategi baru dan ekonomi baru dan meninggalkan cara lama di mana pembuatan barang-barang dibuat di timur sementara ia diguna oleh pihak barat.

Menjawab soalan daripada perwakilan, Najib menyebut mengenai langkah-langkah yang dibuat oleh Malaysia bagi memastikan kadar pertumbuhan yang dikehendaki.

Antaranya ialah liberalisasi sektor-sektor kecil, pertumbuhan bank Islam, menghapuskan garis panduan pelaburan langsung berhubung dasar Bumiputera.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa pakej rangsangan, Malaysia tidak akan mampu mencapai kadar pertumbuhan tiga peratus. Tetapi sungguhpun begitu, beliau mahukan pencapaian supaya menambah dua peratus lagi iaitu sampai lima peratus dengan kerajaan lebih berusaha dengan pendekatan mesra perniagaan. Perdana Menteri berharap dalam pasca krisis ini, Malaysia akan mencapai kadar pertumbuhan lima peratus pada hujung tahun ini.

Untuk tujuan ini, katanya, Malaysia akan mencari sumber pertumbuhan baru dan beranggapan bahawa sektor swasta tidak cukup berusaha. Berkaitan ini beliau akan mengumumkan satu model ekonomi baru pada penghujung tahun ini. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...