Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, November 4, 2009

Permohonan Anwar batalkan tuduhan liwat didengar 23 November

KUALA LUMPUR 3 Nov. - Permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membatalkan pertuduhan kes liwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan akan didengar oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 23 November ini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah turut menetapkan tarikh yang sama untuk sebutan semula perbicaraan penuh kes liwat berkenaan.

Tarikh tersebut ditetapkan selepas Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh bagi pendengaran permohonan itu.

Mohd. Yusof turut memaklumkan Mahkamah Rayuan akan menentukan pada Jumaat ini keputusan rayuan pendakwa raya terhadap perintah Mahkamah Tinggi supaya pihaknya membekalkan dokumen penting kepada Anwar serta rayuan balas tertuduh bagi mendapatkan contoh spesimen Mohd. Saiful sebagai pengadu.

Peguam R. Sivarasa yang mewakili Anwar pula mencadangkan agar mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi permohonan itu sementara menunggu keputusan muktamad rayuan tersebut.

Menurutnya, apa jua keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini, rayuan akan diteruskan sehingga ke peringkat Mahkamah Persekutuan.

''Walaupun tarikh perbicaraan permohonan (membatalkan pertuduhan) ditetapkan, ia masih lagi bergantung kepada keputusan rayuan (berhubung pembekalan dokumen),'' katanya ketika sebutan kes liwat tersebut hari ini.

Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hadir bersama isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Turut muncul di mahkamah buat pertama kali ialah Mohd. Saiful dengan ditemani bapa, Azlan Mohd. Lazim dan peguamnya, Zamri Idrus.

Hakim Mohamad Zabidin menyatakan, beliau tidak akan menunggu sehingga keputusan muktamad rayuan di Mahkamah Persekutuan kerana mahu mendengar permohonan membatalkan pertuduhan itu secepat mungkin.

''Saya lebih berminat mengenai apa yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan mengenai rayuan berkenaan pada Jumaat ini,'' katanya.

Menurutnya lagi, sekalipun tarikh pendengaran permohonan itu ditetapkan, ia tidak akan menjejaskan rayuan berhubung pembekalan dokumen itu.

Memandangkan hakim tersebut bertegas mahu menetapkan tarikh pendengaran permohonan membatalkan pertuduhan, seorang lagi peguam bela Anwar, Raja Aziz Addruse memohon agar prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan pasukan pembelaan berbincang bersama anak guamnya.

Sebaik sahaja prosiding bersambung semula, Mohd. Yusof menyatakan kedua-dua pihak bersetuju supaya tarikh pendengaran permohonan membatalkan pertuduhan liwat ditetapkan.

Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan itu pada 17 Jun lalu dengan alasan ia adalah satu persendaan, tidak masuk akal dan tidak mempunyai asas sama sekali.

Pada 16 Julai lalu, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar agar pendakwa raya membekalkan kepadanya dokumen-dokumen penting kecuali contoh spesimen Mohd. Saiful sebelum perbicaraan penuh bermula bagi tujuan pembelaan.

Pelaksanaan perintah itu bagaimanapun ditangguhkan sementara menunggu rayuan pihak pendakwa yang tidak berpuas hati dengan keputusan itu manakala Anwar turut memfailkan rayuan balas untuk mendapatkan contoh spesimen pengadu.

Anwar, 62, didakwa atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful, 24, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun tahun lalu.

Sementara itu, Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) menetapkan 15 Disember ini sebutan semakan kehakiman oleh Anwar bagi membatalkan kenyataan bertulis pendakwa raya bahawa tidak terdapat fakta-fakta yang memihak kepada pembelaan dalam kes liwat itu.

Hakim Lau Bee Lan menetapkan tarikh itu di kamar beliau hari ini sementara menunggu keputusan rayuan berkaitan pembekalan dokumen kepada Anwar. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...