Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, November 15, 2009

UMNO tidak gentar Anwar burukkan PM

PONTIAN 14 Nov. – UMNO tidak gentar dengan usaha Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memburuk-buruk peribadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, ini kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) sentiasa terbuka dengan kritikan, namun biarlah ia membina dan bertanggungjawab.

“UMNO tidak gentar dengan ancaman itu dan belum mengetahui bentuk serangan yang akan dilakukan ke atas Perdana Menteri, namun kita bersedia untuk membalas balik sekiranya memerlukan.

“Namun, jika serangan ke atas Perdana Menteri hanya merupakan satu fitnah dan berbentuk peribadi, ini menunjukkan pembangkang di negara ini masih lagi tidak matang,” katanya mengulas usaha Anwar untuk menjatuhkan Perdana Menteri.

Beliau ditemui selepas merasmikan majlis penyerahan gelanggang serba guna di kawasan Parlimen Pontian di Kampung Jawa, di sini semalam.

Empat gelanggang yang diserahkan iaitu di Kampung Permatang Sepam, Pekan Benut, Pekan Kampung Jawa dan Bandar Pontian berharga RM150,000 setiap sebuah.

Ahmad berkata, tindakan pem bangkang yang memburuk-burukkan imej Perdana Menteri di luar negara juga disifatkan sebagai tidak bermoral dan hanya merugikan rakyat di negara ini.

“Bagi Anwar, Datuk Seri Najib merupakan halangan besar untuk beliau menjadi Perdana Menteri. Lantas dia berusaha sedaya untuk menjatuhkannya melalui serangan peribadi,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pembangkang tidak sewajarnya melemparkan tuduhan atau kritikan tanpa mempunyai fakta yang kukuh.

“Sebagai pembangkang di Parlimen mahupun di Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka seharusnya menyampaikan harapan dan kehendak pengundi yang telah memilih mereka.

“Namun keadaan seperti itu tidak berlaku kerana mereka hanya pandai mencari kesalahan dan kelemahan kerajaan tanpa mengakui kejayaan yang telah dilakukan oleh kerajaan BN,” katanya sambil meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menguasai beberapa negeri seperti di Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor menunjukkan contoh yang baik. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...