Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Thursday, November 19, 2009

SPRM ambil alih siasatan dokumen pemilikan Azmin, Shamshida bernilai RM8 juta

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Polis menyerahkan siasatan berhubung dakwaan isu pemilikan saham oleh beberapa individu termasuk Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali yang didakwa mencecah RM8 juta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, polis telah menyerahkan kesemua dokumen dan keterangan bekas Setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari kepada SPRM, petang semalam untuk memulakan siasatan.

Menurutnya, pihak SPRM pernah menjalankan siasatan berhubung isu sama sebelum ini dan dipercayai 'terganggu' disebabkan kekurangan keterangan dan bukti.

"Sekarang kita dapat keterangan dan bukti baru, jadi kita serahkan kepada SPRM memandangkan suruhanjaya itu telah menjalankan siasatan awal sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Deepavali peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Semalam, Anuar membuat laporan polis dan menyerahkan dokumen berkaitan dakwaan isu pemilikan saham itu kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Bukit Perdana di sini.

Antara dokumen yang diserahkan termasuk baucar dipercayai pembelian saham serta penyata bank membabitkan nilai pemprosesan sehingga RM2 juta.

Seorang lagi individu yang terlibat seperti didakwa dalam dokumen itu ialah isteri Azmin, Shamshida Taharin.

Anuar juga menamakan beberapa individu yang didakwa terlibat dalam pemilikan saham itu termasuk Anwar kerana dokumen-dokumen bertarikh 1992 hingga 1994 tersebut berlaku ketika Ketua Pembangkang itu memegang portfolio Menteri Kewangan.

Sebelum ini, Pengerusi Yayasan Pembangunan Belia India Malaysia, S.A. Vigneswaran mendedahkan memiliki dokumen berkaitan pembelian saham itu.

Azmin kemudian menafikan dakwaan tersebut kerana maklumat dalam dokumen itu adalah tidak benar.

Sementara itu, ditanya sama ada polis membuktikan kesahihan dokumen tersebut sebelum menyerahkannya kepada SPRM, Musa berkata:

"Dalam laporannya pengadu (Anuar) hanya meminta kita menyiasat mengenai pemilikan saham dan menamakan beberapa individu. Sahih atau tidak, itu bukan pihak kita. Kita serahkan kepada SPRM untuk menentukannya".

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya telah maklumkan kepada Suruhanjaya Sekuriti kerana kes tersebut melibatkan saham. - Utusan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...