Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, November 13, 2009

'Tidak berniat jadikan isteri sebagai cagaran' - Khalid

Oleh Anwar Hussin, Faiza Zainudin dan Mohd Anwar Patho Rohman
bhnews@bharian.com.my


Baiah pendinding daripada khianati parti: Khalid

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berkata beliau tidak berniat menjadikan isterinya sebagai cagaran apabila mengangkat baiah cerai talak tiga ketika pilihan raya umum lalu tapi ia sebagai halangan untuknya melompat parti.

Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam dan ahli Lujnah Politik Pas Pusat berkata, baiah itu adalah pendinding untuknya daripada mengkhianati parti jika menerima sogokan daripada luar parti.

"Kalau orang tidak faham, tindakan itu seperti membunuh diri tetapi bagi Pas ia sebagai benteng penghalang wakil rakyat melompat parti.

"Isteri bukanlah dijadikan cagaran tapi ia adalah sebagai hadiah kerana demi isteri, kita tidak akan melakukannya.

"Baiah ini juga seperti tindakan panglima tentera Islam, Tariq Ziad membakar kapal armada lautnya selepas berjaya menyeberangi Selat Gibaraltar," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini semalam.

Malah, katanya, isterinya turut berbangga beliau berbuat demikian kerana mempertaruhkan sesuatu yang berharga.

Ditanya bagaimana suatu ketika nanti jika beliau tidak bersetuju dengan pucuk kepemimpinan parti, Khalid berkata, beliau akan meletak jawatan dalam parti dan bukannya melompat parti.

Bagaimanapun Khalid mendakwa baiah talak tiga bukanlah sesuatu yang wajib kerana wakil rakyat diberi pilihan untuk melakukannya.

Sementara itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub, berkata baiah talak tiga dianggap tidak sah kerana amalan itu tidak pernah diarahkan Pas pusat.

"Ia bukan daripada Pas pusat, bukan dari Majlis Syura. Ada apa-apa yang berlaku dalam parti, Pas akan bertanggungjawab.

"Bagi saya perkara ini tidak berbangkit dan bukan isu yang besar. Tapi saya tegaskan apa yang berlaku itu bukan dari parti, bukan keputusan parti, bukan pendirian parti," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...