Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Monday, December 7, 2009

Kenyataan Nik Aziz guris hati Sultan

Teguran tak patut guna media: Awang Adek

BACHOK: Langkah kerajaan negeri secara terbuka mengumumkan melalui media, supaya Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra, yang sedang gering dan dirawat di Singapura, untuk pulang mendapatkan rawatan dalam negara, disifatkan sebagai tidak wajar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin, menyifatkan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat, berhubung perkara itu mengguris perasaan Sultan.

"Tidak sepatutnya, beliau (Nik Aziz) mengeluarkan kenyataan akhbar hanya kerana untuk memohon bagi membawa balik Sultan ke dalam negara untuk berubat, demi menjaga maruah baginda.

"Nik Aziz juga boleh merayu terus kepada Pemangku Raja mengenai perkara ini, bukannya melalui akhbar. Perlu diketahui beliau, inilah tugas Menteri Besar sebagai penasihat kepada Tuanku Sultan, nasihat atau teguran terus kepada baginda, bukan melalui akhbar.

"Apa yang berlaku ini jelas menunjukkan kerajaan negeri ingin menjimatkan kos dalam perbelanjaan perubatan baginda yang dianggap besar. Namun, beliau (Nik Aziz) tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh mengguris perasaan Sultan," katanya.

Dr Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan, memberitahu pemberita demikian selepas bersarapan bersama penduduk Perupok di sini, semalam.

Minggu lalu, Nik Aziz mengumumkan keputusan Mesyuarat Exco Kerajaan Kelantan yang bersetuju merayu supaya Sultan Kelantan yang kini gering dan sedang dirawat di Singapura, dibawa pulang mendapatkan rawatan dalam negara. Ketika mengumumkan langkah itu, Nik Aziz tidak memberi sebarang alasan.

Sementara itu, Dr Awang Adek berkata, pembayaran wang ihsan yang akan disalurkan Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan agensi Kerajaan Pusat di Kelantan tahun depan, akan digunakan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat terutama mengeluarkan lebih 5,000 warga miskin tegar di negeri ini.

Katanya, selain itu Kerajaan Pusat juga akan menggunakan peruntukan terbabit itu untuk meningkatkan pencapaian cemerlang pelajar terutama sekali dalam pendidikan tanpa mengira fahaman politik ibubapa murid terbabit.

"Ini kerana mereka memerlukan rumah yang lebih selesa, kemudahan asas lain seperti bantuan bulanan dan sumber pendapatan sampingan untuk meringankan beban," katanya. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...