Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Wednesday, December 16, 2009

Umno Lancar Program Juara Rakyat Bermula Jan Depan


MELAKA, 14 Dis (Bernama) -- Umno akan melancarkan program raksasa "Umno Juara Rakyat" bermula bulan depan sebagai gerakan baru memenangi hati para pengundi Melayu, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata program itu akan merangkumi bidang ekonomi, sosial, pendidikan, belia dan sebagainya supaya Umno dilihat lebih semarak dan bertenaga.

"Gerakan yang baru ini merupakan satu program transformasi Umno untuk mendekati masyarakat hingga ke peringkat akar umbi," katanya ketika berucap sempena majlis perasmian perhimpunan agung tahunan ketiga Majlis Veteran Umno Malaysia di Ayer Keroh, di sini Ahad malam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka melancarkan program itu yang akan berterusan sehingga pilihan raya umum ke-13 akan datang.

Pada masa yang sama, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno turut mengajak anggota veteran Umno sama-sama terlibat dalam program itu kerana semangat mereka masih diperlukan dan diiktiraf.

Beliau berkata pilihan raya umum lepas mencatatkan trend mengundi masyarakat Melayu yang tidak lagi berpihak kepada Umno dan berpecah kepada mengundi parti pembangkang.

Sementara itu, Muhyiddin menyifatkan tindakan pembangkang yang memainkan sentimen mencabar Kedaulatan Melayu dalam menarik perhatian masyarakat kepada mereka sebagai tidak sesuai dengan perlembagaan negara ini.

"Kita menganggap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Islam sebagai agama rasmi berlandaskan kepada perlembaagaan kita sendiri," katanya.

Beliau tidak mahu pemimpin parti pembangkang memainkan isu itu yang sensitif kepada masyarakat Melayu. -- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...