Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Sunday, December 6, 2009

Lawatan PM cari penyelesaian konflik Selatan Thailand

SEREMBAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata matlamat utamanya melawat Thailand mulai esok hingga Rabu ini untuk mengetahui pandangan kerajaan negara itu berhubung jalan penyelesaian menyeluruh konflik di selatan negara itu.

Beliau berkata, walaupun konflik itu sudah reda, masih belum lagi nampak suatu penyelesaian yang komprehensif dan muktamad.

"Saya akan melakukan lawatan dengan Perdana Menteri Thailand (Abhisit Vejjajiva) ke Selatan Thailand atas jemputan beliau sekali gus memberi peluang kepada saya bertemu pemimpin Islam di wilayah itu.

"Dengan ini, saya boleh memberi nasihat kepada mereka bahawa penting untuk semua pihak bekerjasama sebagai satu barisan untuk mencapai penyelesaian yang boleh memastikan masa depan lebih terjamin," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) di Dewan Perbandaran Seremban di sini, petang semalam.

Najib berkata, beliau juga mungkin berbincang mengenai wilayah autonomi di Selatan Thailand, tetapi tidak menggunakan istilah itu kerana dalam bahasa Thai, wilayah autonomi mempunyai beberapa pengertian.

Katanya, sebarang bentuk wilayah autonomi mestilah untuk memberi peluang kepada masyarakat tempatan membuat keputusan dalam bidang berkaitan kebajikan, pendidikan dan kebudayaan. - Berita Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...