Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, April 30, 2010

Jangan Bincang Isu Perkauman Secara Terbuka, Ulangi Dr Mahathir

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Khamis mengulangi bahawa isu-isu perkauman tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia boleh mencetuskan ketegangan dalam masyarakat pelbagai kaum.

Beliau diminta mengulas perang mulut antara Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan MCA berikutan sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional (BN) semakin berkurangan pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor Ahad lalu.

"Seorang bercakap sesuatu, maka orang lain akan membalas. Jika anda cakap orang itu bersikap perkauman, maka mereka akan kata anda seorang bersikap perkauman," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah perdana bertema "Malaysia As A Maritime Nation - Are We There?" di Institut Maritim Malaysia di sini.

Awal minggu ini, Dr Mahathir berkata BN harus melakukan analisis mengenai sokongan kaum Cina yang berkurangan kepada gabungan itu pada pilihan raya kecil tersebut.

Ditanya sama ada krisis dalaman MCA yang berlarutan sebelum ini merupakan salah satu faktor, Dr Mahathir berkata: "Semua parti komponen BN -- MCA, Gerakan, MIC dan UMNO -- juga mempunyai masalah masing-masing." -- BERNAMA 



Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...