Pertubuhan Agenda Social Media 1Malaysia

Friday, April 23, 2010

Tun Mahathir Minta Pengundi Hulu Selangor Pilih BN

HULU SELANGOR, 22 April (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor yang akan mengundi Ahad ini, supaya memilih calon Barisan Nasional (BN).

Mantan perdana menteri itu berkata ini adalah kerana terbukti BN mampu membawa pembangunan dan perubahan ke kawasan mereka dan seterusnya memantapkan lagi taraf hidup rakyat di sini.

"Negara kita aman dan tenang, walaupun kita telah mencapai banyak kemajuan di kawasan bandar, banyak lagi yang perlu dilakukan di kawasan luar bandar, " katanya ketika berceramah untuk pilihan raya tersebut di Serendah.

Beliau berkata negara telah mencapai kemajuan kerana pemerintahan BN, kerana pemimpin perikatan tersebut bekerja untuk kemajuan negara dan bukan untuk kepentingan individu.

"Bila kita majukan negara semua mendapat faedah dan ini terbukti hanya boleh dilakukan oleh BN," katanya.

Bercakap mengenai calon Parti Keadilan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim, beliau berkata bekas menteri itu boleh diibaratkan sebagai katak.

"Dulu dia dalam Umno jadi menteri, lepas itu dia melompat ke pembangkang. kaki belakang dia cukup kuat kerana sekarang dia dapat jadi calon pembangkang.

"Kita tak sepatutnya pilih atau percaya orang yang suka melompat macam ini. Nasihat saya jangan pilih orang macam itu.

"Nanti dia mabuk entah apa yang dibuatnya. Dia tak berjudi tapi ada kuda lumba. Saya pun ada kuda 30 ekor tapi bukan kuda lumba. Dia mengakui ada kuda lumba tapi dia kata dia tak berjudi, saya tak faham ni," kata Dr Mahathir.

Katanya calon BN P. Kamalanathan, yang turut hadir di ceramah tersebut pula merupakan calon yang bersih, fasih berbahasa Malaysia dan faham akan kehendak rakyat.

Bercakap di sidang media selepas ceramah tersebut yang dihadiri lebih 500 orang, Dr Mahathir berkata beliau tidak ingin orang tahu yang beliau akan berkempen di Hulu Selangor.

"Sebab itu bila orang tanya saya, saya cakap saya tak pergi berkempen, tetapi sebagai penyokong setia BN saya membuat keputusan untuk datang juga," katanya. -- BERNAMA


Bookmark and Share

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...